Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan undang-undang hudud yang bakal dilaksanakan kelak akan sentiasa mengikut hukum yang ditetapkan Allah selain syariat agama Islam

Katanya, sokongan sebulat suara 44 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) juga membuktikan ia diterima baik oleh semua wakil rakyat negeri itu sendiri.

"Sudah lulus, cuma ini pindaan saja. Baguslah, kita mahu kalau boleh apa yang dilakukan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.

"Kita harap apabila dilaksanakan nanti akan dilakukan sebagaimana yang disyarakkan oleh syariah," katanya.

Tengku Razaleigh mengulas keputusan DUN Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

BACA: DUN Kelantan lulus sebulat suara enakmen Hudud

Menurut laporan, kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong rang undang-undang itu.

Turut menyokong, kesemua 31 anggota dewan daripada PAS dan seorang daripada PKR Guchil, Mohamad Roslan Puteh.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Parlimen kelak.

Sementara itu, Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi tidak faham tentang rang undang-undang berkenaan.

BACA: Gantung semua kerjasama Pulau Pinang dengan PAS - Jeff Ooi

Tegasnya, pelaksanaan rang undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam yang melakukan kesalahan di Kelantan.

"PAS masih dalam pakatan dan agenda melaksanakan hukuman hudud oleh PAS Kelantan ini bukan agenda bersama dalam pakatan.

"Agenda PAS ini sudah lama kita katakan dan sudah difahami, kita harap mereka tidak buat sesuatu yang menjejaskan pakatan.

"Tidak berbangkit soal pujuk mereka, isu hendak bermesyuarat pada 23 Mac ini adalah hak mereka. Kita dengar dulu apa kata mereka," ujarnya.

Jelasnya, PAS juga masih belum memutuskan siapa yang akan membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen kelak.

"Ia akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat PAS Pusat," katanya.