BEIJING: Hubungan dua hala Malaysia-China sudah menjangkau hampir 50 tahun dan kini berada di tahap terbaik ekoran suntikan ketokohan dan kewibawaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi empat hari ke negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu minggu lepas.

Ia merupakan bukan calang-calang hubungan dua hala jika dilihat dari apa juga perspektif, malah sesuatu yang istimewa dan luar biasa.

Bayangkan untuk 14 tahun berturut-turut, China adalah rakan perdagangan terbesar bagi Malaysia dengan jumlah mencatat RM487.13 bilion pada tahun lepas sahaja.

Tidak dinafikan bahawa perkembangan amat positif ini ialah berita terbaik bagi negara dan rakyat Malaysia sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Anwar empat bulan yang lalu.

Ramai yang ragu akan pertumbuhan ekonomi Malaysia ekoran negara menyaksikan lima Perdana Menteri bertukar tangan sejak 2018, tetapi tanda-tanda positif kini mula muncul dengan ketara dengan Anwar yakin lebih banyak lagi "berita baik" akan menyusul di minggu dan bulan akan datang.

Hasil lawatan itu sahaja, Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan China bernilai RM170 bilion dalam pelbagai projek raksasa yang bakal dilaksanakan di negara ini.

Daripada keseluruhan jumlah itu, sebanyak RM100 bilion diperolehi dalam satu sesi sahaja yang Anwar adakan bersama kira-kira 50 peneraju industri China.

Sambil menyifatkan kejayaan ini sebagai "bersejarah" Perdana Menteri berkata ini akan memperkasakan lagi Malaysia sebagai rakan ekonomi China.

"Malaysia amat optimistik. Kita berada pada trend-trend yang meningkat dan saya menjangka kita akan memecah rekod. Komitmen pelaburan yang dicapai mengatasi pelaburan berjumlah RM144 bilion yang ditandatangani China dan RM158.68 bilion dengan India enam tahun yang lalu," kata Anwar.

Sejumlah 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai semasa lawatan itu, termasuk sebuah Lembah Automatif Teknologi Tinggi di Tanjung Malim, Perak, iaitu projek kenderaan yang menggunakan tenaga baharu atas usahasama Geely Holding Group dan DRB-Hicom Bhd.

Geely, sejak menjadi rakan usahasama Proton, pengeluar kereta nasional Malaysia, beberapa tahun dahulu berjaya meningkatkan jualan serta pasaran Proton secara mendadak, khususnya dengan memperkenalkan model-model popular seperti X70 dan X50.

Kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan kegemaran China diperkukuhkan lagi dengan kehadiran syarikat-syarikat ulung China seperti Huawei, Risen Energy, Longi Solar, EVE Energy, Alliance Steel, Alibaba Group dan Universiti Xiamen.

"Saya berharap syarikat-syarikat yang telah melabur di Malaysia akan terus meluaskan kehadiran mereka dan bekerjasama dengan rakan perniagaan tempatan dan kerajaan bagi membina keupayaan dan industri-industri baharu di samping mewujudkan pekerjaan yang bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia," tambahnya.

Beberapa perjanjian antara kedua buah kerajaan juga ditandatangani bagi memperkukuh lagi kerjasama dan persefahaman yang sedia terjalin dalam sektor-sektor keutamaan seperti perkilangan, ekonomi digital, pembangunan keusahawanan dan penyelidikan dan pembangunan dalam industri pertanian.

Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM), Datuk Keith Li yang turut hadir di acara-acara rasmi sempena lawatan Perdana Menteri, yakin akan pertumbuhan ekonomi yang rancak di Malaysia sebagai limpahan kepada inisiatif yang diambil Anwar dengan memberi fokus khas kepada China.

Katanya, pelabur China juga berminat untuk turut serta sekiranya projek keretapi laju di antara Malaysia dan Singapura yang dahulu dibatalkan dihidupkan semula memandangkan keunggulan kepakaran negara itu dalam bidang berkenaan.

Bagi menyambut Jubli Emas atau ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun hadapan, Anwar juga menjemput Presiden China Xi Jinping untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

Kunjungan Presiden Xi ataupun Perdana Menteri China yang baharu Li Qiang adalah amat dinanti-nantikan.

-- BERNAMA