Tidak seperti kebiasaannya, tahun ini keluarga diraja Johor tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri.

Satu status yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memperjelaskan situasi itu adalah sebagai tanda hormat di atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Yang lebih memilukan ialah tarikh 5 Julai, iaitu hari terakhir Ramadan tahun ini, merupakan hari keputeraan Almarhum Tunku Jalil.


"Walaupun Keluarga DiRaja sangat menghargai setiap peluang untuk meraikan sambutan bersama dengan orang ramai, terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri, namun tahun ini, Tuanku Sultan dan Permaisuri Johor ingin menyambut Hari Raya dengan keluarga secara peribadi," kenyataan itu menyebut.

Aidilfitri pertama tahun ini akan disambut keluarga diraja dengan solat sunat Aidilfitri dan berkunjung ke makam, diikuti dengan sambutan biasa bersama keluarga.

Keluarga diraja Johor juga mengharapkan agar orang ramai, khususnya rakyat Johor yang berhasrat untuk melakukan kunjungan, dapat menghormati dan memahami situasi tersebut.