Orang ramai diminta menghentikan penyebaran berita berkaitan pesakit yang positif dijangkiti COVID-19 di negeri ini di laman sosial kerana perbuatan itu boleh mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Demikian amaran yang diberikan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, ekoran pelbagai berita yang disebarkan melalui Facebook dan WhatsApp berkaitan wabak itu.

Malah, tegas beliau, sekiranya benar terdapat kes individu yang positif sekalipun, bukan menjadi tugas orang ramai untuk menyebarkannya.


Beliau berkata, biarlah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan tindakan susulan sekiranya ada pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19.

"Saya menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan perkara sebegini... hanya akan cetuskan panik.

"(Orang ramai) akan buat kesimpulan rumusan yang pelbagai, rumusan yang salah dan sebagainya. Kalaupun betul ada (kes positif COVID-19), (orang ramai) tak perlu sebarkan, (biar) pihak berkuasa, pihak kementerian, pihak polis akan menangani masalah sebaik mungkin," kata Zainuddin.

Zainuddin ditemui selepas melakukan pemantauan di kompleks beli-belah Aman Central, Alor Setar, pada Rabu.


Turut serta dalam lawatan itu ialah, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Menurut Zainuddin lagi, polis sentiasa memantau setiap laporan di Facebook dan sekiranya berita yang ditular tidak benar, polis akan segera mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, dari segi pemantauannya di kompleks berkenaan, ramai pelanggan didapati berbaris panjang untuk membeli pakaian dan barang keperluan disebabkan prosedur standard operasi (SOP) iaitu pemeriksaan suhu badan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan orang ramai khususnya pada waktu petang yang lazimnya menerima jumlah kunjungan pelanggan yang lebih besar.

Aman Central turut mengamalkan SOP penjarakan sosial dengan menyediakan penanda supaya orang ramai menjarakkan diri serta menyediakan cecair pembasmi kuman serta pemeriksaan suhu.

Justeru, Zainuddin berharap, orang ramai patuh pada SOP yang ditetapkan supaya tidak dijangkiti wabak COVID-19 khususnya menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut pada hujung minggu ini.