KUALA LUMPUR : Ramadan mesti dihayati dengan pendidikan disiplin dan adab serta tegas menghindari kecurangan.

Demikian, titipan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui perkongsian di media sosial rasminya bersempena bulan puasa ini.

“Pendidikan tidak wajar mengesampingkan disiplin, akhlak dan adab. Pelajaran, waima pendidikan agama sekalipun, bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat-ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan.

“Lantaran itu, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu, dan tidak bersubahat melindungi gejala bobrok tersebut.

“Jadikan awal Ramadan kesempatan kita bermunajat dan meningkatkan amal serta tercapai darjat takwa serta berusaha sesungguhnya menggapai nikmat madrasah Ramadan.

“Untuk sekolah, maahad, institut, kolej dan universiti, berilah penekanan menjaga disiplin dan adab serta bertegas menghindari kecurangan dari berakar sejak di pusat pengajian lagi,” katanya.



Anwar berkata pesanan ini dinukilkan lantaran mengenang liputan mengenai masalah disiplin dalam institusi pendidikan. Lebih parah apabila ada insiden yang melibatkan percubaan menutup kejadian yang berlaku.

“Terngiang dalam ingatan liputan negara sejak dulu – kisah penderaan pelajar termasuk pengalaman saya tatkala menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur. Malah, paling tragis dan menggemparkan adalah kematian mahasiswa di Universiti Pertahanan,” ujarnya lagi.

Anwar bersama delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi di Jerman sehingga 15 Mac akan datang dalam misi pelaburan.

Beliau dijadualkan berbuka puasa dalam majlis makan malam yang dihoskan oleh Canselor Persekutuan Jerman, Olaf Scholz.