KUALA LUMPUR: Hasrat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menggesa reformasi sistem Persekutuan, dengan Johor dilayan sebagai rakan kongsi sebenarnya bertujuan merakyatkan kepimpinan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Sivamurugan Pandian, berkata hasrat itu antara lain sebenarnya bertujuan menyatukan ideologi berbeza ahli politik di Johor, demi kepentingan rakyat.

Katanya lagi, tidak salah untuk kerajaan sesebuah negeri melakukan sebarang bentuk tuntutan demi kemajuan dan pembaharuan negeri tersebut.

"Saya percaya ke bawah duli sebenarnya mahu melihat apa lagi yang boleh disalurkan kepada Johor sebagaimana di negeri-negeri lain.

"Ini semua atas matlamat bahawa perkembangan itu tidak akan membawa jurang yang besar di antara negeri-negeri yang ada.

"Apa lagi pada ketika ini kita dapat lihat terdapat kewujudan jurang di antara kelas masyarakat.

"Jadi jurang di antara negeri ini boleh dirapatkan jika ia disalurkan dengan jumlah peruntukan yang bersesuaian dengan keperluan di peringkat negeri," ujarnya dalam program AWANI Pagi pada Selasa.

Menurutnya, bagaimanapun hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan harus terus diperkukuh agar kekal dalam keadaan yang harmoni.

Ini kerana hubungan yang erat antara kerajaaan negeri dan Persekutuan, dapat memastikan proses pelaksanaan dasar dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau mengulas kenyataan Tunku Ismail yang mencadangkan parti politik di negeri itu bersatu dalam gabungan dikenali  ‘Gabungan Bangsa Johor’ bagi menjamin kepentingan negeri.

Mengambil contoh  Gabungan Parti Sarawak yang terdiri daripada beberapa parti, Tunku Ismail berkata negeri itu  menggunakan kelebihan berkenaan untuk rundingan yang lebih berkesan dengan pihak berkuasa Persekutuan.

Baginda turut berharap pada masa hadapan agar sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus daripada hasil negeri akan kembali kepada Johor kerana semua hasil cukai negeri pada masa ini diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.