Majlis AIDS Malaysia (MAC) sedang bekerjasama dan berunding bersama syarikat insuarans dan takaful di negara ini, untuk melayakkan pemegang polisi yang menghidap HIV dan AIDS mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos ditanggung pihak insurans.

Jelas Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Dr Christopher Lee, ini adalah penting sebagai sebahagian usaha menghapuskan diskriminasi terhadap penghidapnya. 

Tambah beliau, ketika ini banyak polisi insurans tidak menanggung kos rawatan bagi individu yang disahkan positif HIV dan penyakit AIDS.

Semestinya bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk mengeluarkan bayaran sendiri akan bergantung harap kepada hospital kerajaan sekaligus menambah beban kepada kerajaan.

"Pesakit HIV dan AIDS kini ada rawatan khusus yang semakin berkembang, boleh tingkatkan kualiti hidup dan mereka jalani hari dengan produktif dengan bekerja dan sebagainya.

"Jadi mereka boleh bayar polisi dan bagi pihak insurans juga boleh ambil peluang ini untuk jana pendapatan dengan menanggung kos rawatan di hospital swasta.Jadi akan wujudkan situasi menang-menang," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Selasa.


Beliau turut berharap agar penyelesaian bagi membela nasib pesakit HIV dan AIDS dapat disegerakan dan mengalu-alukan kerjasama dengan banyak syarikat insurans untuk mengambil peranan dalam isu ini.

Menyentuh mengenai kaedah rawatan, sekiranya pesakit mendapatkan rawatan dengan cepat dan betul, kemungkinan penghidap HIV untuk mendapat AIDS itu adalah rendah.

Namun soal stigma dan pandangan negatif masyarakat masih membelenggu kehidupan seharian pesakit.

"Salah seorang pesakit yang saya rawat, sudah 25 tahun hidap AIDS, kini boleh hidup seperti biasa, sihat, boleh bekerja dan jalani kehidupan seperti biasa.

"Stigma yang negatif sebegini akan mengganggu mental, pengajian, pekerjaan dan pergaulan mereka yang akan merumitkan lagi proses rawatan mereka. Maka berilah mereka peluang dan sokong mereka," jelasnya.

Bersempena dengan Hari AIDS Sedunia yang disambut setiap tahun pada 1 Disember, beliau berharap agar masyarakat tidak menghukum dan memandang serong pesakit-pesakit ini.

Stigma dan persepsi negatif harus ditangkis dalam merealisasikan agenda "Mengakhiri AIDS 2030".

MAC juga juga menyarankan agar masyarakat sentiasa membuat saringan dan medapatkan rawatan awal bagi mengelakkan penyakit kronik menyerang.

Turut ditekan adalah isu kerahsiaan adalah fokus utama Majlis itu bagi memastikan tiada identiti yang akan didedahkan.