KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Penternak-penternak Malaysia (FLFAM) memberikan komitmen untuk mengekalkan harga ayam dan telur sepanjang Disember ini.

Penasihat FLFAM Tan Sri Francis Lau berkata pihaknya akan melaksanakan skim kawalan harga ayam dan telur, sama sebagaimana yang pernah dilaksanakan semasa sambutan Deepavali lepas.

"Kami (FLFAM) amat menghargai keprihatinan serta nasihat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Sehubungan itu kami menetapkan tidak ada kenaikan harga (ayam dan telur) sehingga hujung tahun ini, termasuk semasa Krismas.

"Kami juga beri jaminan kepada orang ramai, takkan ada isu kekurangan bekalan ayam dan telur," katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat antara FLFAM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan harga ayam dan telur melonjak disebabkan peningkatan kos pengeluaran yang dihadapi penternak.

-- BERNAMA