TRONOH: Sukan berkuda selalu melekat di minda dengan stigma sukan kayangan atau mahal bagi golongan marhaen.

Namun, menerusi pendekatan yang dilakukan oleh KRT Horse Stable and Archery ternyata memberi peluang sama rata kepada semua.

Kewujudan sukan berkuda dan memanah di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Tasek Putra di sini, memberi banyak manfaat kepada orang ramai untuk mendekatinya.

Menyedari dunia semakin maju dan ramai yang cenderung memilih e-sukan atau permainan dalam talian di waktu senggang, inisiatif dipacu oleh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di sini dalam menyebarkan kebaikan sukan tersebut wajar diberi pujian.


Mendekati lebih dekat KRT Horse Stable and Archery, rupanya ia juga disertai oleh anak-anak yang menghidap autisme, memandangkan kajian mendapati menunggang kuda baik bagi terapi.

Menurut pengelola dan jurulatih sukan tersebut, Mohammad Alfi Syahmi Mohammad Sofian, 31, usaha itu dilakukan secara berpasukan yang turut disertai KRT kawasan tersebut sejak Februari lalu.

"Timbul idea untuk majukan taman di sini, sebab sekarang ini boleh lihat sesama masyarakat tidak mahu ambil tahu siapa jiran terdekat.

"Memandangkan saya ada pengalaman berkuda dan memanah, kita cuba bangunkan tempat ini, untuk penduduk setempat mengenal satu sama lain dan rapatkan ukhuwah.

"Semua ini tidak akan jadi kenyataan jika tiada sokongan padu dari Pengerusi KRT sendiri, memang pada mulanya fikir memang mustahil untuk bela kuda dalam taman perumahan sebab bukan mudah untuk uruskan," katanya.


Jelasnya lagi, kesemua empat ekor kuda yang ada di sini merupakan miliknya, yang dibeli di Terengganu dan Pulau Pinang.

Tambahnya, sukan itu mendidik sifat kepimpinan, berani dan menjadikan mereka lebih lasak.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan penghidap autisme dalam sukan itu, Alfi berkata ada keluarga yang menghantar anak-anak mereka ke situ untuk mengikuti sesi berkuda.

"Ia menjadi terapi untuk kanak-kanak autisme, dapat lihat mereka lebih tenang, fokus dan komunikasi yang lebih baik," katanya yang juga mempelajari sukan berkuda dan memanah di merata tempat termasuk Indonesia.

Sementara itu, salah seorang peserta, Muhammad 'Ash Arif Khairul Azhar, 13, berkata, dia mula berkecimpung dalam aktiviti itu tahun lalu.

"Saya harap lebih ramai yang ceburi sukan ini, banyak manfaat kita dapat seperti stamina dan kekuatan diri, tak rugi belajar," katanya.

Pengerusi KRT Kariah Taman Tasek Putra, Shahril Ridhwan Jalaludin, 36, pula berkata, orang ramai dialu-alukan untuk datang dan sertai aktiviti tersebut dengan kadar yang sangat berpatutan.

"Ia semua hasil gotong-royong dan usaha komuniti setempat, kami hargai semuanya dari mula sampailah sekarang. KRT akan bantu sedaya mampu untuk hidupkan sukan ini di sini.

"Stable di sini dibuka setiap hari dan orang ramai boleh sertai kelas menunggang kuda, memanah serta memanah berkuda," katanya.