SHAH ALAM: Kerajaan menolak dakwaan sektor pembuatan dan perkilangan merupakan penyumbang terbesar kenaikan kes jangkitan COVID-19 di negara ini ketika ini. 

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melalui data statistik Kementerian Kesihatan (KKM), hanya  sekitar 5 hingga 10 peratus kes COVID-19 melibatkan sektor terbabit.

Tambahnya, adalah tidak wajar untuk menutup sektor terbabit, semata-mata berdasarkan statistik  kenaikan kes jangkitan COVID-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

"Kerana berdasarkan statistik dan data yang telah pun diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kenaikan kes jangkitan COVID-19 ini bersifat  sporadik. Ini bermakna virus ini sudah ada di dalam komuniti.

BACA: Kes sporadik di Selangor, Kuala Lumpur tinggi dan membimbangkan - Dr Noor Hisham

"Atas dasar itu, KKM telah mengesahkan 75 peratus daripada kes positif datangnya daripada komuniti dan baki 25 peratus adalah daripada pelbagai bentuk  kluster, termasuk kluster di tempat kerja," katanya pada sidang media selepas melawat tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor Berskala Mega pada Isnin.

Walau bagaimanapun, beliau tidak  menafikan jangkitan COVID-19 dan kluster ini berlaku melibatkan perkhidmatan terbabit namun dengan adanya inisiatif yang dilaksanakan sedikit sebanyak bakal membantu mencapai kelangsungan ekonomi.

"Tidak seperti sektor pendidikan dan sosial kerana kita tutup sepenuhnya, tapi sektor ekonomi, khususnya perkhidmatan yang kita telah benarkan  ini berlaku untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

"Khususnya Malaysia ini sebagai negara yang yang menjadi sebahagian rantaian bekalan global, kita tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan, bekalan keperluan asas yang juga melibatkan barang keperluan untuk kesihatan awam seperti sanitizer, ataupun barang-barang keperluan farmasi juga produk yang lain," katanya.

Justeru, beliau menegaskan agar sektor pembuatan dan perkilangan terus mematuhi SOP ketat dan majikan diminta untuk melakukan ujian saringan berskala besar secara berkala bagi memastikan penularan jangkitan dapat dielakkan memandangkan kebanyakan kes positif tidak mempunyai gejala.

Sehingga semalam, seramai 16,564 pekerja di Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang terbabit dalam Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sudah divaksin.

Semua pekerja dalam sektor pembuatan serta perkilangan di seluruh negara disasarkan akan menerima vaksin menjelang akhir September untuk mencapai imuniti kelompok.