Satu rakaman video tular sejak malam tadi memaparkan dua lelaki menyerang seorang guru dipercayai akibat salah faham dalam kejadian di Bachok, Kelantan.

Kejadian dipercayai berlaku jam 10.30 pagi Sabtu, memaparkan guru lelaki berkenaan dimarahi salah seorang lelaki yang mendakwa guru berkenaan mengeluarkan perkataan tidak enak kepada isterinya.

Video berdurasi tiga minit 31 saat itu turut memperlihatkan lelaki itu bertindak memarahi guru terbabit di kawasan perkarangan sekolah dan cuba mengheret mangsa ke luar kawasan sekolah kononnya untuk menyelesaikan masalah.

Dalam video itu, guru berkenaan dilihat dipegang lelaki berbaju kemeja-T hitam sehingga terbuka butang baju dan cuba mengawal keadaan namun lelaki yang menyerangnya turut mengeluarkan kata-kata kesat.


Sumber Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok memberitahu, guru itu bagaimanapun enggan ke luar pagar sekolah dan menjelaskan salah faham lelaki berkenaan terhadap tuduhannya.

"Berlaku perbalahan mulut antara PKP dan lelaki itu berpunca dari salah faham apabila isterinya memaklumkan dia diserang sedangkan guru berkenaan menelefon untuk memaklumkan kes gantung sekolah salah seorang pelajar yang mana penjaga perlu hadir untuk tanda tangan akujanji bersama pelajar," katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Katanya, lelaki itu adalah bapa saudara kepada pelajar yang terbabit dalam kes hukuman gantung sekolah.

"Setelah diterangkan dengan jelas, lelaki itu faham dan meminta maaf.

Sementara itu, tinjauan ke laman sosial Facebook melihat video berkenaan sudah tular ke beberapa kumpulan dan dilihat lebih 9,000 tontonan dan dikongsi ratusan netizen.

Difahamkan, pihak sekolah berkenaan akan mengadakan sidang media di sekolah itu pagi ini.