GEORGE TOWN:Sebaik tiba di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth suasana yang dirasakan penulis sangat berbeza berbanding kunjungan-kunjungan sebelum ini.

Kelainan yang dirasakan itu barangkali ada kaitannya dengan pengumuman pemberhentian operasi feri iaitu sistem pengangkutan yang sangat masyhur dan menjadi ikon Pulau Mutiara selama berpuluh dekad itu.

Di sebalik kesedihan yang dirasakan sebilangan besar penduduk Pulau Pinang mengenai berita itu, perkhidmatan feri masih berjalan seperti biasa.

Tiada lagi perkhidmatan mengangkut kenderaan empat roda bermula 1 Januari 2021 - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

Norma baharu yang diamalkan pula menjadikan pengoperasian feri lebih teliti demi memastikan penggunanya terus selamat daripada penularan wabak COVID-19.

Seperti biasa, imbasan menerusi aplikasi My Sejahtera diwajibkan selain pemakaian pelitup muka berikutan pengenalan prosedur operasi standard (SOP).

Kunjungan penulis bersama rakan jurukamera, Rizal Rahim ke Pulau Pinang baru-baru ini adalah untuk meninjau sanubari sejumlah kecil pengunjung feri mengenai perasaan mereka dengan keputusan yang dibuat pihak berkuasa untuk menaik taraf feri yang cukup ikonik itu.

Bermula 1 Januari ini, perkhidmatan feri lama hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya.

Perkhidmatan bot laju pula akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki bagi menggantikan feri ikonik yang sudah beroperasi sejak 126 tahun di negeri itu.



Bawa keluarga naik feri sebelum berakhir

Rata-rata pengguna yang ditemui (terutamanya anak jati Pulau Pinang yang balik kampung) mengambil peluang untuk bergambar dan juga merakamkan memori mereka di atas feri.

Bagi Ija misalnya yang sudah berhijrah ke Shah Alam, Selangor pemberhentian operasi feri bagi mengangkut kenderaan empat roda amat menyedihkan.

Masakan tidak, feri adalah pengangkutan yang sangat penting buat keluarg Ija seperti juga rata-rata masyarakat di negeri itu baik yang menetap di sebelah ‘Tanjong’ (bahagian pulau) di kawasan ‘Bagan’ (tanah besar).

Pengalaman geografi merentasi Selat Pulau Pinang merupakan antara yang paling ikonik di Malaysia - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

"Bagi saya, keputusan ini amat menyedihkan kerana sejak kecil lagi kami akan setiasa menggunakan perkhidmatan ini apabila balik kampung.

"Untuk memulihara feri sedia ada memerlukan keputusan bijak dari pihak kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Mungkin untuk mendapatkan alat ganti susah, tetapi saya percaya ada penyelesaian yang boleh dilakukan.

"Sekiraya berjaya, ia pasti menggembirakan sebab pelancong yang datang ke Pulau Pinang akan sentiasa cuba naik feri walaupun terpaksa tunggu beberapa jam di luar," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

BACA: Feri ikonik P. Pinang hanya untuk motosikal, basikal bermula 1 Jan

Selain itu, Ali Naufal Azman yang turut mahu merasai pengalaman naik feri sebelum ia dihentikan menganggap keputusan pemberhentian operasi feri sedia ada amat merugikan.

"Dah 126 tahun kot, sayang la. Kalau kerajaan nak hentikan operasi hanya kerana kos penyelenggaraan yang tinggi, salah satu caranya ialah memanfaatkan bakat tempatan.

"Kita bukan tiada kemahiran, cuma tiada orang nak sokong atau berani untuk melabut kepada bakat tempatan. Dengan cara itu, kita boleh jimat banyak!

"Sekarang ini pun, difahamkan feri ada enam buah, tetapi yang berfungsi hanya dua saja, yang lain dah ‘lingkup’," katanya dalam nada kecewa.

Demi keselamatan penunggang motosikal.

Sebelum ini, perkhidmatan feri dilaporkan hanya akan mengangkut pejalan kaki sahaja dan tiada lagi pengangkutan kenderaan beroperasi.

Tetapi pada 26 Disember lalu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dalam kenyataannya memaklumkan bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri lama hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya.

Pengguna motosikal merupakan kedua tertinggi untuk perkhidmatan feri Pulau Pinang - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

Rashid Abideen yang hampir 15 tahun menggunakan perkhidmatan ini, memilih untuk menggunakannya untuk elak kesesakan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang.

“Kalau operasi feri ini dihentikan atau tukar, memang sedih la. Ini ikon Pulau Pinang, orang luar yang datang sini sanggup tunggu dua jam pun semata-mata nak naik feri,” katanya yang kini menjalankan perniagaan belacan dan juga ikan bilis di George Town.

Begitu juga dengan Muhammad Daniel, 22 tahun yang bekerja sebagai mekanik di Jalan Dato’ Keramat sentiasa menggunakan perkhidmatan feri demi keselamatan diri.

“Atas jambatan ada banyak kenderaan berat, bagi mereka yang menggunakan motosikal, risikonya amat tinggi.

“Kerap kali kemalangan yang berlaku atas jambatan, pasti babitkan penunggang motosikal,” katanya.

Berdasarkan data yang dikongsikan SPPP, jumlah pengguna Perkhidmatan Feri Pulau Pinang terus menurun sejak tahun 2000 daripada lebih enam juta pengguna kepada hanya 1.2 juta pengguna setakat November 2020.

Hanya orang 'Tanjong' dan 'Bagan' saja yang tahu sedihnya

Ia disumbangkan oleh jumlah feri yang beroperasi berkurangan akibat masalah penyelenggaraan serta kos yang meningkat.

Dari segi jumlah pengguna, pejalan kaki merupakan penguna paling ramai diikuti pengguna motosikal dan basikal.

Tiada siapa yang menjangka identiti Pulau Pinang akan berubah khususnya selepas feri yang juga seri utama negeri itu ditamatkan operasinya.

Trend pengguna Perkhidmatan Feri Pulau Pinang tahun 2000 sehingga November 2020 - Grafik AWANI Design

Tentu sekali persoalan yang akan menjadi perdebatan untuk 10, 20 atau 50 tahun akan datang ialah kenapa sistem pengangkutan ikonik itu menjadi mangsa keadaan?

Hanya sejarah akan menjawabnya!


** Hilal Azmi, anak jati Pulau Pinang kembali ke kampung halamannya baru-baru ini bagi meninjau detik-detik akhir perkhidmatan feri sebelum bot laju diperkenalkan untuk membawa penumpang pejalan kaki.