KUALA LUMPUR: Peruntukan sama rata pada masa ini hanya diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menyertai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan.

Sementara isu peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang tidak menyertai itu pula akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa MoU Transformasi dan Kestabilan Politik untuk dibincangkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Ini sebenarnya bermula dengan penegasan dalam jawatankuasa pemandu itu sendiri yang mengatakan hanya mereka yang terlibat sahaja akan diberi dahulu.

"Selepas itu, perkara ini Insya-Allah saya akan bawa dalam mesyuarat jawatankuasa akan datang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang memohon semua Ahli Parlimen pembangkang diberi peruntukan sama rata.

"Saya selaku Ketua Pembangkang secara konsisten dari awal memang memohon supaya peruntukan sama diberikan kepada semua ahli pembangkang walaupun tidak terikat dengan MoU," katanya.