IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak terus menurun dengan 39 orang daripada 14 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah dalam kenyataan pada Rabu berkata, hanya satu daerah iaitu di Kerian yang masih belum pulih daripada banjir sepenuhnya.

Katanya, hanya terdapat satu PPS di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu yang masih beroperasi.

Selain itu, kawasan terjejas membabitkan Kampung Selekoh dan Kampung Beriai.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan kenyataan amaran hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa daerah negeri ini termasuk Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Manjung.