MELAKA:Hanya 2,628 pekerja asing daripada keseluruhan 12,447 pekerja daripada kelompok itu telah menjalani saringan COVID-19 dalam tempoh 19 hingga 27 Jan lepas di Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata mereka merupakan pekerja yang digaji 99 majikan di negeri itu melibatkan pelbagai sektor merangkumi keselamatan, perladangan, pembuatan, pembungkusan, pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan pekerjaan.

Program yang dilaksanakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Melaka itu mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Melaka dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka menerusi pasukan petugas khas bagi mengesan majikan yang masih belum melakukan saringan COVID-19 ke atas pekerja asing mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan pekerja warga asing mereka menjalani saringan COVID-19 dalam tempoh dua minggu ini.

"Ujian saringan RTK Antigen hendaklah dijalankan di mana-mana klinik dan hospital swasta dan kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program berkenaan dikuatkuasakan Kementerian Sumber Manusia di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.

Majikan yang gagal membuat saringan ke atas pekerja warga asing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.9) (2020).

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata Hospital Jasin akan dijadikan hospital merawat pesakit COVID-19 sekiranya kes positif di negeri itu terus mencatat peningkatan.

"Sekarang hanya Hospital Melaka berfungsi sebagai hospital hibrid COVID-19 selain merawat pesakit bukan COVID-19 dan kapasiti katil telah ditambah bagi menampung kes positif," katanya.

Beliau berkata selain itu, Melaka telah menubuhkan lima Pusat Penilaian COVID-19 di tiga daerah untuk menilai sama ada pesakit COVID-19 sesuai menjalani pengasingan dan pemantauan di rumah atau perlu ditempatkan di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah.

Di Melaka, pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (gejala ringan) perlu menjalani pengasingan dan pemantauan di rumah selain kaedah kuarantin kendiri.

-- BERNAMA