ISTANBUL: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Malaysia boleh mempelajari sistem pengurusan sempadan Turkiye yang dilihat berjaya menjamin keselamatan negara itu.
Dalam satu temu bual dengan Agensi Anadolu, beliau berkata Malaysia mahu mempelajari mengenai kaedah kawalan pelarian, berkongsi pengalaman dalam bidang pelancongan dan pemuliharaan tapak bersejarah serta mengukuhkan pertukaran antara rakyat.
Di tengah-tengah perubahan politik tempatan dan global, Hamzah turut menggesa kepimpinan politik yang lebih kukuh dalam kalangan negara Islam selain perpaduan parti politik yang dapat membuahkan hasil lebih baik untuk negara terlibat.
Malaysia, katanya, ingin memainkan peranan dalam memperjuangkan dunia yang lebih baik dengan menjalin kerjasama dengan semua pihak.
Hamzah yang mengadakan lawatan ke Turkiye turut berkesempatan melawat kawasan sempadan dengan Syria, Iraq dan Greece, serta pusat kawalan.
Sambil memuji hubungan lebih erat Turkiye dan Malaysia di peringkat tertinggi, Hamzah berkata Turkiye dan Melaka, "dua negara Islam yang telah bekerjasama dalam pelbagai sektor" dalam sejarah perkongsian mereka selama 500 ratus tahun.
"Ini kerana Melaka (semenanjung) ketika itu adalah negara perdagangan, dan Turkiye (Negara Uthmaniyyah) pula sebuah kuasa besar," katanya.
Beliau berkata hubungan diplomatik rasmi yang wujud pada 1964 "menandakan satu lagi tahap persefahaman" antara kedua-dua negara.
"Dalam perubahan ekonomi dunia, kita di Malaysia merasakan bahawa kita juga perlu bekerjasama rapat bukan sahaja dengan negara lain tetapi juga dengan Turkiye, kerana kedua-dua negara telah bekerjasama sejak 500 tahun yang lalu," katanya.
Sempena lawatan itu, Hamzah turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Ketika melawat kawasan sempadan Turkiye dengan Syria dan Iraq dan pengurusan sempadan maritim dengan Greece, Hamzah telah diberi taklimat mengenai pengurusan, perancangan dan pengawasan fizikal.
Beliau turut melawat pusat arahan dan kawalan sistem pengurusan sempadan Turkiye.
Memandangkan keadaan geopolitik di rantau ini, Hamzah berkata, "Terdapat banyak pihak atau negara berminat untuk mempunyai pangkalan mereka di rantau ini."
"Justeru itu, Turkiye telah membuat dasar untuk mengukuhkan keadaan keselamatan dan pertahanan mereka di kawasan itu.
"Untuk melakukannya, anda perlu mempunyai teknologi dan aset yang secukupnya dan mereka (telah) membangunkan aset dan industri jenis itu (untuk) memastikan mereka mempunyai mekanisme pertahanan yang mampan pada masa depan.
"Saya kagum...kerana Turkiye mempunyai dasar pertahanan negara yang berpandangan jauh...," katanya.
Ketika berada di Istanbul Hamzah meluangkan masa melawat pusat panggilan kendalian kerajaan, "merangkumi tujuh jabatan antaranya kesihatan, perhutanan dan bomba yang menggunakan hanya satu nombor, iaitu 112."
"Saya akan mengadakan perjanjian yang sangat komprehensif antara dua negara, terutamanya mengenai keselamatan...," kata Hamzah sambil menambah kedua-dua negara dijangka menandatangani perjanjian mengenai perkara itu dalam beberapa bulan akan datang.
Hamzah mengakui pandemik telah melambatkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Turkiye dan Malaysia dalam sektor pertahanan.
"Sudah tentu COVID-19 telah mencetuskan lebih banyak masalah. Kami mahu mulakannya semula," katanya merujuk kepada 14 MoU yang ditandatangani antara syarikat swasta Turki dan Malaysia di bidang pertahanan pada 2019.
"Melihat pada sisi positif, kami telah merancang apa yang perlu dilakukan segera selepas pendemik ditangani. Dan kita boleh terus mengorak langkah," tambahnya.
Selain itu menurutnya, Turkiye boleh mendapat manfaat daripada penyertaan Malaysia dalam pakatan perdagangan terbesar dunia - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
"Dengan begitu banyak perjanjian lain yang kami ada seperti RCEP, ia peluang untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan kami," katanya.
RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas serantau dalam kalangan 14 negara di Asia Pasifik.
Dalam temu bual itu Hamzah turut berkongsi pengalamannya ketika melawat Masjid Hagia Sofia.
"Bukan rakyat Turkiye sahaja yang datang melawat masjid itu malah rakyat dari seluruh dunia. Nilai sejarah sangat penting kepada manusia, kerana ia adalah asas ketamadunan," katanya.
Masjid itu menjadi tumpuan pengunjung sejak ia dibuka untuk umat Islam menunaikan solat pada 2020.
Turkiye dan Malaysia berkongsi banyak 'persamaan' dan rakyat Turkiye boleh mengunjungi Malaysia dan sebaliknya.
Selain itu kedua-dua negara boleh menjalinkan kerjasama antaranya dalam bidang pemuliharaan artifak sejarah.
Katanya, Malaysia juga memiliki "semua budaya ASEAN" dan "Malaysia is truly Asia."
'Masalah Rohingya adalah mengenai identiti'
Berhubung isu kemasukan pelarian Rohingya, menteri itu berkata negara itu tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Atas dasar kemanusiaan kami benarkan mereka berada di Malaysia," kata Hamzah.
Bagaimanapun, katanya tidak ada sesiapun dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa mematuhi undang-undang dan bertindak sewenang-wenangnya.
"Masalah utama yang kita hadapi ialah mereka yang tidak ada dokumen dan di Malaysia tidak semua Rohingya berdaftar.
"Kami mahu pastikan mereka yang tinggal di negara kami mempunyai dokumen untuk kita tahu keberadaan mereka, di mana mereka tinggal dan bekerja," katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa pernah menahan bot yang membawa penduduk Rohingya dan apabila pemerikasaan dilakukan mereka hanya memberikan kad UNHCR.
"Adakah adil dengan hanya memberikan kad itu sebelum mendarat di negara kita...Malaysia. Inilah isu besar yang saya hadapi," katanya.
Pada tahun 1980-an apabila perang Vietnam berlaku dan ramai penduduk dari negara Asia Tenggara yang dilanda perang itu melarikan diri ke Malaysia.
"Dan pada masa itu, kami membenarkan UNHCR mempunyai pangkalan, pejabat sementara... Perjanjian hanyalah sementara untuk mereka membuka pejabat. Tetapi mereka tinggal selama bertahun-tahun," katanya.
Hamzah berkata Malaysia "ingin melihat bagaimana Turkiye menguruskan masalah itu.
Untuk menyelesaikan isu Rohingya, beliau menggesa supaya "mengenal pasti pelarian sebenar."
"Kemudian membawanya ke peringkat antarabangsa untuk mengadakan kerjasama antara Myanmar dan Malaysia, bagi menerima mereka kembali," katanya, mencadangkan penggunaan mekanisme serantau seperti ASEAN.
Mengenai sama ada ASEAN, yang turut dianggotai Myanmar, gagal membantu menyelesaikan isu Rohingya, beliau berkata: "Kami tidak boleh buat sebarang penilaian buat masa ini."
"Jika kita katakan ASEAN gagal dalam isu ini, patutkah (kita) mengatakan PBB juga gagal dalam banyak isu lain," soalnya.
Beliau berkata ASEAN harus dibenarkan berbincang dengan Myanmar dan ASEAN juga disaran melantik utusan khas "ke Myanmar untuk berbincang mengenainya."
"Ia kini menjadi masalah keselamatan, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga semua negara anggota ASEAN," katanya.
'Negara Islam perlu kepimpinan lebih kuat, kestabilan politik'
Sambil merujuk kepada negara majoriti umat Islam, Hamzah berkata: "Kita harus melihat kepada semua negara Islam (dan) jenis masalah yang mereka hadapi."
"Anda akan melihat krisis kepimpinan, kestabilan politik dan sektor ekonomi.
"Kami, beberapa negara selain kami, hanya boleh memimpin dan membawa mereka kembali ke tahap tertentu...setiap orang harus belajar daripada yang lain dari segi nilai, budaya dan sikap yang akan menjadikan dunia lebih baik," katanya.
Mengenai persekitaran politik di Malaysia, Hamzah berkata: "Saya sangat positif dan optimis bahawa Malaysia boleh mencapai tahap yang lebih baik apabila semua pemimpin politik duduk bersama, melupakan masalah lalu dan meletakkan keutamaan kepada negara."
"Adalah penting untuk semua negara tidak mengalami krisis kepimpinan dan bagi tujuan itu, pemimpin mesti berbincang...insyaAllah Malaysia mampu pergi jauh lebih daripada apa yang kita ada hari ini," katanya.
Mengulas dari segi geopolitik pula Hamzah berkata dasar Malaysia adalah bekerjasama dengan semua pihak.
"Bagi melaksanakannya, Malaysia ingin memainkan peranan dalam berkongsi serta saling mempelajari antara satu sama lain. Apa yang kita perlukan ialah sebuah dunia yang selamat untuk semua orang hidup bersama," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jun 08 2022
Hamzah mengadakan kunjungan hormat terhadap Erdogan pada 31 Mei 2022 bertempat di Istana Presiden Republik Turki, Ankara. - Facebook Hamzah Zainudin
Pelajar tahfiz perlu teroka bidang teknologi
Kira-kira 200,000 pelajar tahfiz di negara ini, perlu dipastikan untuk mempunyai kemampuan dan peluang menjadi tenaga penggerak kepada umat Islam Malaysia dalam meneroka bidang yang dahulu dilihat sebagai asing., tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perpaduan rakyat prasyarat ekonomi mampan
Tidak semua negara Islam mempunyai ruang dan kesempatan untuk terus aman dan damai, dan mempunyai peluang untuk menikmati ekonomi yang kukuh dan berkembang seperti Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu mempunyai tekad untuk memahami maksud dan keperluan perpaduan di kalangan mereka, serta kekuatan dalaman yang seterusnya dapat dijadikan tonggak untuk negara membuat langkah seterusnya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu mempunyai tekad untuk memahami maksud dan keperluan perpaduan di kalangan mereka, serta kekuatan dalaman yang seterusnya dapat dijadikan tonggak untuk negara membuat langkah seterusnya.
Tidak perlu tergesa-gesa tukar ke lesen B - JPJ
Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 dan B1 tidak perlu tergesa-gesa mendaftar Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B kerana tiada had masa ditetapkan untuk permohonan.
KPWKM teruskan lapan inisiatif bantu warga emas
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus menggerakkan lapan inisiatif utama dalam memenuhi keperluan jagaan dan sistem sokongan terhadap warga emas.
Warga emas maut ditikam anak kandung yang berhalusinasi
Seorang pesara guru maut ditikam anak kandungnya sendiri di sebuah rumah dekat Kampung Senaling, di sini, petang Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, siasatan awal mendapati warga emas berusia 65 tahun itu cuba memujuk anak lelakinya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dikatakan mahu membunuh diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, siasatan awal mendapati warga emas berusia 65 tahun itu cuba memujuk anak lelakinya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dikatakan mahu membunuh diri.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 5 Oktober 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Hezbollah lancar serangan peluru berpandu ke atas kompleks industri ketenteraan di utara Israel
Pergerakan Hezbollah di Lubnan berkata mereka telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kemudahan ATA Defence Industries.
Tiada kaitan dengan pelantikan CEO MDEC, Anuar Fariz bukan adik saya - Fahmi
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil merupakan adiknya.
Israel lakukan persiapan untuk serang Iran - Laporan
Tentera Israel sedang bersiap untuk "tindakan balas besar-besaran dan ekstrem" terhadap Iran.
Hamzah puji pengurusan keselamatan, sempadan Turkiye
Malaysia ingin memainkan peranan dalam memperjuangkan dunia yang lebih baik dengan menjalin kerjasama dengan semua pihak.