KUCHING: Hampir 8 juta pokok bakau telah ditanam di hutan paya laut seluruh negara sejak 2007 sehingga kini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif di bawah Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara itu melibatkan peruntukan sebanyak RM70.1 juta.

Beliau berkata peruntukan tersebut turut merangkumi aktiviti penyelenggaraan pokok, penyelidikan, pembangunan, pemantauan serta kesedaran awam.

"Program ini memberi fokus pada aktiviti penanaman pokok di kawasan pesisir pantai negara dan hutan paya laut yang berisiko berlakunya bencana alam dan terdedah kepada hakisan.

"Sehingga kini, seluas 3,461.64 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanam dengan sejumlah 7.95 juta pokok di bawah program ini," katanya semasa berucap di majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata Malaysia terus komited dalam memelihara dan memulihara kawasan berhutan yang masih terdapat di seluruh negara serta beriltizam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

"Agenda itu selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

"Pada masa ini, keluasan kawasan berhutan negara ialah 18 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara dan Sarawak menyumbang 7.67 juta hektar atau 42.51 peratus daripada keluasan kawasan berhutan negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga 15 Julai tahun ini, Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah merekodkan penanaman sebanyak 91.16 juta pokok merangkumi 1,849 spesies di seluruh negara.

Sarawak telah berjaya melakar pencapaian membanggakan di bawah program itu dengan merekodkan penanaman melebihi 35 juta pokok sebagaimana yang disasarkan, iaitu pencapaian setahun lebih awal sebelum kempen ini tamat pada tahun 2025, tambah beliau.

-- BERNAMA