PUTRAJAYA: Seramai 48,381 pekerja sektor peruncitan lengkap divaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini berkata RiVAC mengutamakan barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan bagi memastikan sektor tersebut dapat menyediakan suasana membeli-belah yang selamat dan meyakinkan kepada pengguna.

Antara golongan yang menjadi keutamaan adalah juruwang, jurujual, kru restoran, pekerja stesen minyak, kru pasar raya, kru kedai serbaneka, tukang gunting dan kecantikan, pengurusan kompleks beli-belah dan pekerja rantaian pengedaran.

Program RiVAC di Lembah Klang bermula 26 Julai lepas dan berakhir hari ini.

RiVAC merupakan inisiatif kerjasama awam dan swasta melibatkan KPDNHEP, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pemain industri peruncitan dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK).

KPDNHEP berkata program RiVAC turut diperluaskan ke beberapa negeri seperti Melaka, Perak, Johor, Pahang dan Kedah untuk memastikan sektor peruncitan dapat seiring dengan pembukaan pelbagai sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Syarikat sektor peruncitan dan pengedaran termasuk pasar raya, kedai runcit, pasar mini, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai perkakasan serta kedai gunting rambut di negeri-negeri berkenaan disaran mendaftar segera dengan program RiVAC bagi mendapatkan vaksinasi untuk pekerja mereka.

-- BERNAMA