KUALA LUMPUR: Sebanyak 293,639 individu kehilangan pekerjaan dari tempoh 2020 hingga 27 September lalu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi sebanyak 75,615 orang, diikuti sektor perdagangan borong dan runcit (43,614), sektor aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (23,907).

"Selain itu, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (19,931), sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (23,124 orang), sektor pembinaan (21,233 orang) dan sektor pengangkutan (20,953 orang) serta lain-lain sektor (65,262 orang),"  katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.

Abdul Rahman berkata demikian kepada menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai program latihan kemahiran dirancang oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi dan industri 4.0. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementeriannya  komited memperkukuh kebolehpasaran graduan dan pekerja, selaras dengan kehendak industri semasa.

Menurutnya, mengikut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 575,044 pencari kerja aktif telah direkodkan dari Januari hingga 27 Sept tahun ini menerusi Portal MYFutureJobs, berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan.

Dalam menangani cabaran guna tenaga tidak penuh terutama bagi graduan baharu dan pekerja tempatan, katanya, pelbagai program telah diperkenalkan oleh KESUMA antaranya Program Latihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan, Skim Latihan Bakal Pekerja (FWT) dan Kursus Berfokuskan Industri 4.0.

"Program lain ialah Program Kerjasama Strategik dan Pusat Teknologi serta Pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk pelatih kemahiran KESUMA," jelasnya.

Sementara itu, Abdul Rahman mnambah, kadar kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari depan, tidak melibatkan graduan mahir dan separuh mahir.

Sebaliknya kata beliau, ia hanya akan melibatkan pekerjaan bawahan seperti buruh, katanya bagi menjawab soalan tambahan Oscar Ling mengenai pakej insentif kepada majikan selepas keputusan kenaikan gaji minimum itu.