KUALA LUMPUR: Seramai 29,572 pelawat asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan berjaya dihantar pulang ke negara asal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini bagi memastikan pelawat yang berada di Malaysia adalah tulen dan masuk secara sah.

Katanya, pelbagai langkah dan pengoperasian yang dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Setakat ini, kita melaksanakan pemeriksaan rambang kepada pengembara dan mewajibkan semua pelawat untuk menggunakan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

“Sistem itu perlu diguna pelawat bagi memudahkan pengesanan warga asing dan juga memastikan pelawat mempunyai tiket keluar semasa pemeriksaan imigresen untuk mengelakkan mereka tinggal lebih masa,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) di Dewan Rakyat pada Isnin mengenai langkah dilakukan JIM dalam mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.

Jumlah kemasukan pelawat asing suku pertama tahun 2024 adalah seramai 8.62 juta, lima tertinggi dari negara Singapura, Indonesia dan Thailand.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak JIM juga mempergiat pengoperasian terutamanya di 224 lokasi tumpuan untuk menangkap dan mengusir warga asing.

“PATI yang ditangkap akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sepanjang tahun ini iaitu sehingga 21 November lalu, JIM telah melaksanakan 18,163 operasi penguatkuasaan dengan tangkapan seramai 41,906 orang PATI.