Hala tuju selepas SPM, sambung belajar atau jadi pempengaruh?

Faida Rahim
Jun 13, 2023 16:35 MYT
(Dari kiri) Mirsha, Ainul Mardhiah dan Liang Xinyu. Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia Pasifik pada Selasa, rata-rata remaja lepasan SPM memilih untuk menyambung pengajian. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jumlah individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat untuk menyambut pengajian dilaporkan semakin meningkat saban tahun.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke universiti atau kolej.
Daripada jumlah berkenaan, mereka membuat pilihan untuk terus bekerja, termasuk antaranya, menjadikan influencer (pempengaruh) sebagai kerjaya pilihan.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia Pasifik pada Selasa, rata-rata remaja lepasan SPM memilih untuk menyambung pengajian.
Bagi pelajar lepasan SPM 2022, Liang Xinyu, 18, yang kini menanti keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam sesi akademik 2023, dia tidak menafikan pendapatan lumayan menanti kerjaya influencer.
Namun begitu, pendidikan harus diberi keutamaan demi mendapatkan kerjaya yang lebih terjamin pada masa depan.
“Secara peribadi, saya tidak berasa kerjaya sebagai influencer atau mencari kerja selepas SPM sebuah idea salah tetapi lebih baik untuk menjadikannya sebagai pendapatan sampingan.
“Saya juga bertugas sebagai seorang guru sambilan sementara menunggu keputusan UPU keluar. Namun begitu, menyambung pengajian masih keutamaan saya.
“Dunia sentiasa berubah dari semasa ke semasa tetapi dengan ilmu, saya percaya semua orang mampu pergi jauh dalam kerjaya. Mungkin suatu hari nanti orang tidak melihat YouTube, Instagram, dan semua perkara digital lainnya. Dan apabila segala-galanya berubah, mereka akan kehilangan pekerjaan mereka. Mungkin mereka boleh jadikan kerjaya influencer sebagai minat dan mendapatkan pendapatan sampingan,” katanya.
Pelajar Kolej Yayasan UEM, Ainul Mardhiah Yusof, 20 yang bercita-cita untuk menjadi seorang saintis memberitahu pilihan sama ada untuk menyambung belajar, mencari kerja atau bergelar pempengaruh adalah pilihan masing-masing.
“Pilihan selepas SPM perlu selari dengan cita-cita. Pendapat saya, menyambung belajar jauh lebih baik daripada menjadi influencer atau menjadi content creator sebab kita perlu timba pengalaman dan kalau kita sambung belajar, kita boleh fokus pada skop itu,” katanya yang berjaya menempatkan diri di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat dan bakal terbang ke sana pada Ogos depan.
Sementara itu, pelajar lepasan SPM 2022, Mirsha Naresh Kumar, 18, turut mempunyai pendapat sama iaitu setiap individu perlu mendapat pendidikan yang baik jika diberi peluang.
“Kalau anda jadi content creator atau influencer, contoh kalau anda berjaya tandatangan kontrak dengan sesebuah syarikat, dan kontrak tamat.
"Nak perbaharui, terpulang kepada keputusan syarikat dan bukan bidang kuasa pempengaruh itu. Di situ bermula kesukaran jika mereka tidak berminat lagi untuk sambung. Maka, anda tidak ada jaminan dalam pekerjaan dan agak sukar untuk kekal relevan sebagai seorang pempengaruh,” katanya.
#Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #Fadhlina Sidek #pempengaruh #influencer
;