KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah akan membentangkan hala tuju serta strategi jangka panjang untuk mengurus bekalan air di negeri ini kepada Kabinet negeri bulan ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata kementerian diterajuinya sedang menunggu laporan lengkap daripada perunding dilantik bagi menilai, memperincikan dan menentukan langkah holistik seharusnya dilakukan dalam menangani masalah bekalan air yang sering membelenggu penduduk.

"Siap sahaja laporan ini, kami (KKR Sabah) akan membentangkannya kepada Kerajaan Sabah ke mana arah hala tuju air di di negeri ini. Ini penting kerana masalah air di Sabah semakin berlarutan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bung Moktar berkata hala tuju bekalan air Sabah itu antara lain akan merangkumi usaha mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) negeri yang kini 57 peratus disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kes kecurian air, paip bocor dan paip sudah terlalu lama sejak zaman British lagi.

Katanya faktor-faktor itu turut menyebabkan Jabatan Air Negeri Sabah mengalami kerugian lebih RM300 juta setiap tahun selama lebih 10 tahun, dan menurutnya, langkah pengkorporatan jabatan berkenaan juga adalah perlu bagi mengurus isu bekalan air di negeri ini secara lebih efisien, sistematik dan berkesan.

Di samping itu, Bung Moktar juga berkata wujud keperluan untuk membina kolam takungan air sebagai alternatif lain dalam mengatasi kekurangan bekalan air sekiranya berlaku kerosakan Loji Rawatan Air (LRA) terutama di kawasan yang sering berdepan masalah itu.

Mengulas masalah air di Beaufort, beliau berkata beberapa LRA di daerah itu rosak susulan banjir baru-baru ini dan perlu diperbaiki terlebih dahulu dan pihaknya menjangkakan bekalan air akan pulih seperti biasa dalam tempoh tujuh hingga 10 hari mulai hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya telah mengambil beberapa alternatif lain iaitu menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kampung-kampung buat sementara waktu untuk kegunaan penduduk.

Sementara itu, Bung Moktar berkata KKR Sabah mahu Kementerian Kewangan negeri mengembalikan semula kuasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan majlis perbandaran dan majlis daerah di negeri ini kepada kementeriannya.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan lebih banyak jalan raya dapat diturap dan diperbaiki dengan kos yang efisien.

Selain itu, Kementerian Kewangan Sabah juga dakwanya tidak mempunyai kakitangan kejuruteraan yang cukup bagi mengawal selia kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

-- BERNAMA