Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menyeru semua pihak agar tidak melakukan sebarang bentuk provokasi yang dapat mencetuskan ketegangan khususnya melalui media sosial.

Menurut beliau, seluruh lapisan masyarakat perlu bertenang dan menggelakkan sebarang tindakan yang dapat membawa kepada situasi konflik lebih meruncing.





Justeru, beliau menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik Kuil Sri Maha Mariamman untuk menyelesaikan ketegangan secara baik.

“Tiada mana-mana rakyat Malaysia yang sudi mempertaruhkan masa depan bersama melalui sesuatu isu yang boleh diselesaikan dengan semangat muhibah,” tegas Dr Zulkifli.

Dalam perkembangan terkini Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan untuk menangguhkan proses pengambilalihan tapak kuil Sri Maha Mariamman oleh pemaju, One City Development Sdn Bhd, lapor Bernama.

Keputusan itu dibuat Hakim M Gunalan di dalam kamarnya hari ini, dengan kos.

Peguam Claudia Cheah Pek Yee yang mewakili One City ketika ditemui memaklumkan, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan ketiga- tiga plaintif tiada locus standi manakala One City adalah pemilik yang sah.

S Thanguraju, M M Mohakrishnan dan S Nagarajah adalah plaintif dalam permohonan itu.

Dalam pada itu, suasana di sekitar tapak kuil berkenaan terus tenang seperti semalam.

Wartawan Astro AWANI Hilal Azmi melaporkan pihak berkuasa terus mengadakan pemantauan di kuil berkenaan.