Penantian seorang guru bagi memperoleh kad pengenalan diri untuk dua kakak dan seorang adik perempuannya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berakhir hari ini apabila Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, Alias Mamat menyerahkan sendiri kad itu kepada mereka.

Nor Azian Yop Kamaruddin, 55, berkata beliau memohon kad pengenalan untuk ketiga-tiga beradiknya iaitu Aishah, 71, Nor Aziah, 60, dan Azimah Yun, 49, pada Jun lepas.

"Saya dah lama mahu memohon kad pengenalan untuk mereka tetapi mereka terlantar. Jadi saya lalui proses satu persatu, saya dapatkan kad OKU dulu, lepas itu baru saya mohon kad pengenalan untuk mereka," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Stesyen sini hari ini.

Nor Azian, mengambil alih menjaga mereka selepas kematian bapanya pada 1999 berkata ketiga-tiga beradiknya itu menghidap penyakit Addison termasuk arwah abangnya.

"Kesemua adik-beradik saya itu mengalami kesukaran koordinasi atau pergerakan anggota badan. Makan perlu disuap, mandi dan semua kita perlu uruskan untuk mereka. Mereka tidak boleh buat apa-apa," katanya, yang merupakan guru bahasa Perancis di sebuah sekolah di sini.

Beliau berkata ketiadaan kad pengenalan itu mungkin disebabkan bapanya tidak melihat keperluan ketika itu dan ditambah pula kesukaran untuk membawa adik-beradiknya ke pejabat JPN untuk memohon kad pengenalan diri.

Sementara itu Alias berkata ketiga-tiga beradik itu menggunakan surat beranak untuk apa-apa urusan termasuk memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi lain.

"Namun perlu diingat bahawa tidak semua urusan boleh menggunakan surat beranak. Jadi, apabila kita dapat maklumat ini, kita pergi ke rumah ini, ambil maklumat dan gambar mereka di sini. Apabila memiliki kad pengenalan sebagai dokumen pengenalan rasmi mereka mudah untuk mendapat apa-apa bantuan daripada agensi atau badan kebajikan," katanya.

Beliau berkata JPN mengambil masa tiga bulan untuk memproses permohonan itu kerana prosedur memerlukan pihaknya mengadakan siasatan kecil sekiranya berlaku kes kelewatan.

"Saya juga melahirkan rasa kagum atas pengorbanan besar dan tidak ternilai oleh Nor Azian yang menjaga adik-beradiknya dalam suasana terurus, terima kasih atas keprihatinannya dan kerjasama kepada JPN. Jika ada kes seumpama ini orang ramai boleh maklumkan kepada JPN dan kita akan turun padang selesaikan masalah itu," katanya.