Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjangkakan penurunan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun di negara ini tidak akan membawa masalah kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau menyifatkan umur layak mengundi baharu 18 tahun itu sebagai perkara yang baik kerana setiap parti politik, termasuk GPS, perlu turun ke akar umbi dan mendekati pengundi muda untuk memenangi pilihan raya.

"Kami (GPS) sentiasa menyokongnya (rang undang-undang untuk menurunkan had umur layak mengundi), ketua menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) malah ada membuat kenyataan semasa beliau bertemu Anggota Parlimen kami sebelum persidangan dewan sekarang dan beliau menyebut kami akan menyokong penurunan had umur (layak mengundi)," katanya pada sidang akhbar mengenai acara 'Best Of ASEAN Designers 2019' di sini pada Rabu.

Abdul Karim mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang diluluskan persidangan Dewan Rakyat semalam.

Mengenai sama ada penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun itu akan terpakai kepada Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang (perlu diadakan sebelum 2021), beliau berkata ia bergantung kepada bila rang undang-undang itu akan diwartakan.

Selain menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, rang undang-undang itu juga menurunkan umur layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, di samping pendaftaran automatik sebagai pengundi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata Best Of ASEAN Designers 2019 akan diadakan di sini dari 6 hingga 8 Sept, bertujuan mengetengahkan koleksi unik 21 pereka fesyen dari Asia Tenggara dan China.

-- BERNAMA