KUALA LUMPUR: Setelah lebih setahun negara dilanda pandemik COVID-19 yang turut menyebabkan perubahan drastik terhadap kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari bersemuka kepada PdP di Rumah (PdPR), para guru dan pelajar serta ibu bapa kini dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Meskipun pada awalnya pelbagai halangan dan kesukaran dilaporkan untuk melaksanakan dan mengikuti PdPR ini, namun seiring waktu berlalu halangan itu dapat diatasi kini dengan inisiatif mewujudkan pelbagai kaedah PdP dan bukan lagi bergantung sepenuhnya terhadap PdPR secara dalam talian.

Perkara ini diakui Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, Rantau, Negeri Sembilan Intan Mardiana Roslan, 39, yang berasa lebih selesa untuk melaksanakan PdPR ketika ini berbanding ketika mula dilaksanakan secara mengejut sebelum ini.

"Kalau PdPR 1.0 (kali pertama) yang dilaksanakan pada Mac 2020, semua dilakukan secara dalam talian, ia bukan sahaja menyukarkan murid dan ibu bapa untuk mengikutinya malah turut memberi tekanan kepada guru untuk melaksanakan tugasan ditambah lagi dengan masalah ketiadaan gajet dan capaian internet.

"Namun atas pengalaman yang telah dilalui pada PdPR kali pertama, kita ambil inisiatif untuk tambah baik kaedah PdPR kali kedua bermula pada November 2020 dengan pelbagaikan kaedah pembelajaran dan tidak lagi bergantung sepenuhnya secara dalam talian dan hasilnya dapat dilihat dalam PdPR terbaru dilaksanakan sejak Mei 2021 berlangsung secara lebih tenang dan teratur," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Katanya, antara kaedah PdPR secara bukan dalam talian adalah penggunaan modul yang mengandungi beberapa subjek diambil sendiri oleh ibu bapa di sekolah untuk disiapkan dalam tempoh tertentu.

"Penggunaan modul ini kita beri sekali dalam seminggu tetapi tugasannya adalah untuk tempoh tiga minggu, selepas itu biasanya ibu bapa akan datang semula ke sekolah untuk menghantar tugasan anak-anak mereka dan begitulah seterusnya.

"PdPR kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana kita sudah selaraskan ikut keperluan dan keselesaan ibu bapa, penjaga serta murid dan pihak sekolah yang mana untuk tugasan PdPR kali ni kita bagi mengikut keselesaan antara tiga pihak ini dengan pelbagaikan kaedah penyampaian termasuk menggunakan buku teks, latihan, Google Meet, YouTube, panggilan video, Telegram dan WhatsApp selain penggunaan modul," katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, penjawat awam Suzana Ismail, 40, yang kini lebih yakin untuk membantu ketiga-tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun mengikuti PdPR meskipun pada awalnya ia tidak teratur dan agak kelam-kabut.

"Selepas lebih setahun PdPR dilaksanakan, saya rasa ia sudah boleh disesuaikan dengan sistem pembelajaran anak-anak, mulanya memang agak kelam kabut tetapi kini pada saya ia lebih mudah dan teratur. Guru kelas akan memberi jadual kelas untuk seminggu dan ini membolehkan ibu bapa memantau dan memastikan anak-anak dapat ikuti setiap kelas.

"Biasanya video rakaman kelas dan kerja sekolah juga diberikan selepas tamat sesi PdPR yang akan dimasukkan dalam Google Classrom, ini membolehkan ibu bapa memantau tugasan atau kerja sekolah anak-anak yang diberikan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan PdPR hingga 31 Ogos depan berikutan kes COVID-19 masih menjadi ancaman di negara ini, adalah langkah tepat bagi mengelakkan wujudnya kluster berkaitan pendidikan.

Sementara itu, seorang guru di SK Kimanis, Papar, Sabah, Azizah Hasan, 40, berkata meskipun pada awal pelaksanaan sesi PdPR keadaan agak kelam kabut, dan dalam masa sama perlu membantu PdPR dua anaknya, semuanya kini semakin lancar selepas beliau dan anaknya sudah mula memahami pembelajaran dengan kaedah itu.

"Sebagai seorang ibu dan guru, mahu atau tidak perlulah menyesuaikan diri dengan PdPR walaupun pada awalnya agak terkejar-kejar, bayangkanlah pada waktu kita laksanakan PdPR dengan murid-murid, saya juga perlu bantu PdPR dua orang anak saya yang berusia lapan dan tujuh tahun.

"Situasi ini memang mencabar tetapi kita kena rasional kerana ia bukan pilihan yang boleh kita pilih mahu atau tidak...ia tetap perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam memastikan anak-anak murid dan anak saya sendiri tidak tercicir dari pelajaran," katanya.

Meskipun sudah mula serasi dengan PdPR ini, Azizah berkata beliau amat mengharapkan sesi persekolahan dapat dijalankan seperti biasa dengan kehadiran fizikal sekiranya situasi semasa COVID-19 sudah mula reda.

"Saya pasti apa dilakukan KPM ini adalah yang terbaik demi menjaga kesihatan anak-anak murid dan para guru daripada dijangkiti. Saya sangat berharap sekiranya sesi persekolahan dapat dijalankan pada September nanti, kesemua kakitangan termasuk para guru sudah menerima dua dos vaksin sebagai langkah mengurangkan jangkitan terhadap anak-anak murid yang tidak mendapat vaksin," katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

-- BERNAMA