KOTA BHARU: Seorang guru di sebuah sekolah di sini direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 12 tahun sejak Mac hingga Ogos lepas.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Guru tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah semasa sesi persekolahan, selain di dalam sebuah kereta di kawasan pusat beli-belah di sini dan di resort dekat Pantai Cahaya Bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut.

-- BERNAMA