Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kepakaran tempatan yang dimiliki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) lebih memahami keperluan terhadap model pembangunan pendidikan tinggi yang diperlukan negara.
"Kita memikirkan (kepakaran) dan sarjana dari luar. Tetapi, sebenarnya saya sebutkan yang mempunyai kepakaran itu adalah di sini (dalam negara). Saya selalu sebutkan tentang pentingnya kita mempunyai nilai diri, harga diri, keyakinan kepada sistem pendidikan kita.
"Keyakinan perlu kita bina dengan sebaik-baiknya, termasuklah hari ini kita sedang merangka pelan perancangan pendidikan (tinggi) untuk masa hadapan, 10 tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata dalam ucapan bagi merasmikan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan pensyarah agar sentiasa beradaptasi dengan perkembangan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) termasuk menghadapi cabarannya dalam akademik.
Pada majlis tersebut, Zambry turut menyampaikan anugerah bagi empat kategori sempena Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024), iaitu kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Inisiatif Live Broadcast (LIB) dan Pengalaman Pembelajaran.
Katanya anugerah itu bertujuan untuk menyokong inisiatif dan aspirasi kementerian dalam pendidikan fleksibel dan kurikulum tersedia pada masa hadapan di samping memberikan pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek yang dilaksanakan oleh ahli akademik.
-- BERNAMA