PUTRAJAYA: Penggunaan logo Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Bahagian 1, Jadual 1, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 (Akta 414).

Dalam satu kenyataan, agensi pentadbir cukai itu memaklumkan, pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan logo atau rujukan tersebut di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

"LHDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan logo agensi pentadbir cukai itu atau sebarang rujukan kepada LHDN bagi tujuan pemasaran, pengiklanan atau seumpamanya di media cetak, media sosial, penerbitan video serta lain-lain medium tanpa kebenaran.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang penggunaan logo agensi pentadbir cukai itu atau rujukan kepada LHDN boleh dilakukan tanpa kebenaran.

LHDN memaklumkan beberapa siri peringatan telah dikeluarkan sebelum ini kepada orang ramai menerusi kenyataan media serta infografik berkaitan sindiket penipuan yang menggunakan nama dan logo LHDN.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. - BERNAMA