Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Sungai Pinang hari ini berjaya mengumpul lebih 300 kotak pelbagai barangan terpakai dan makanan untuk disumbangkan kepada masyarakat Islam di Pnom Penh, Kemboja bulan depan.

Yang Dipertuanya Ahmad Yaakub Nazri berkata program kerjasama Cambodian Community Education and Development Organisation itu menyasar mengumpul sebanyak mungkin sumbangan berupa pakaian, buku, peralatan kegunaan harian termasuk wang tunai untuk diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan di wilayah itu.

"Kita juga mendapat penajaan daripada individu perseorangan dan ahli korporat bagi membawa satu kontena barangan berkenaan bulan depan dan lebih 100 sukarelawan GPMS terlibat bagi menjayakan program ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sejak pusat operasi pengumpulan dibuka petang ini sambutan orang ramai sangat menggalakkan dan beliau bersyukur dengan perkembangan tersebut.

Katanya beliau bersama 10 wakil GPMS akan berangkat ke Kemboja pada 6 Mac ini bagi menyerahkan kesemua sumbangan yang dikumpul.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Ahmad Yaakub di talian 019-4352624.