KUALA LUMPUR: Sektor Pelancongan di Selangor terus mendapat tumpuan setelah kawasan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-7 dibawah Program Pembangunan Geopark Malaysia.

Pengiktirafan tersebut diperoleh selepas melihat kepada nilai warisan geologi bertaraf antarabangsa dan pembangunan lestari dalam komponen pelancongan, warisan kebudayaan, pendidikan komuniti serta kebudayaan yang wujud di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, kawasan geotapak tersebut meliputi keluasan 112,955 hektar meliputi lokasi berpotensi dikenalpasti sebanyak 20 geotapak iaitu 13 yang terletak di Daerah Gombak manakala tujuh di Daerah Hulu Langat.

"Pengiktirafan ini adalah pencapaian buat kerajaan negeri dalam memelihara kelestarian alam semula jadi kerana ia perkara penting dalam industri pelancongan selain pengurusan mampan kawasan berkepentingan yang memiliki nilai geotapak bertaraf antarabangsa.

"Ia juga seiring dengan matlamat pembangunan mampan 2030 dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mungkin sebelum ini, Geotapak sinomin dengan Pulau Langkawi, namun Selangor turut menawarkan pengalaman sama justeru itu kita #PusingSelangorDulu," katanya.

AWANI Pagi: Pengiktirafan | Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan ke-7 Malaysia

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.

Dalam pada itu, menjadi penal ketika temubual sama, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, Rusli Mohamed berkata, projek Geotapak mampu memberi impak positif kepada industri pelancongan Selangor.

"Pengiktirafan GHL Geopark ini merupakan pengubah permainan (game changer) kepada industri pelancongan negeri Selangor yang kini lebih pelbagai dengan tarikan produk geo-pelancongan baharu.

"Terdapat beberapa pelabur dan pemegang taruh menyatakan hasrat untuk menjalankan kerjasama awam-swasta bagi membangunkan prasarana pelancongan di kawasan Geotapak seperti di Bukit Takun Kuala Lumpur, Batu Caves dan beberapa lagi lokasi," ujarnya.

Perkata tersebut sekali gus menyumbang kepada limpahan ekonomi bagi sub sektor pelancongan termasuk komponen penginapan, perkhidmatan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

Tourism Selangor turut komited dalam memacu kejayaan diperingkat kebangsaan ini untuk mendapat pengiktirafan diperingkat dunia daripada Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

GHL Geotapak tidak hanya mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, malah mampu memulihara geotapak dibawah pengurusan kerajaan negeri Selangor.