Ringkasan AI
- GISB Travel Tours Sdn Bhd adalah antara 81 perusahaan yang dicadangkan untuk dikenakan penalti kewangan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana dipercayai terlibat dalam perjanjian penetapan harga bagi perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada awal 2023.
- Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus menyatakan bahawa keputusan cadangan ini adalah dapatan awal dan tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 (Akta 712) pada peringkat ini. Semua perusahaan yang dinamakan diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dan lisan.
- MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan. Perusahaan-perusahaan tersebut diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis selepas menerima keputusan cadangan.
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata pihaknya telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap semua perusahaan terbabit.
Katanya, perlakuan kartel 81 perusahaan terbabit boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
"Melalui penyiasatan pada peringkat keputusan cadangan ini, MyCC mendapati bahawa kesemua perusahaan ini yang merupakan ahli persatuan yang berdaftar di Malaysia, telah bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi kedua-dua perkhidmatan pakej umrah ekonomi dan premium dalam beberapa mesyuarat mereka pada awal 2023.
"MyCC juga mendapati bahawa persatuan terbabit membuat pengumuman kepada pihak media untuk memaklumkan kepada orang awam tentang harga lantai yang telah dipersetujui oleh mereka," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Mohd Hishamudin menegaskan bahawa keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah dapatan awal.
Justeru, katanya, tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan telah melanggar Akta 712 pada peringkat berkenaan.
"Seperti yang diperuntukkan dalam akta, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan oleh MyCC," katanya.
Mohd Hishamudin menambah perusahaan-perusahaan tersebut diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.
Selepas itu, katanya perusahaan-perusahaan yang sama turut diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
"MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan," katanya.