PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah mempunyai pandangan hukum mengenai doktrin dipercayai ajaran sesat diamalkan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.


Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) telah mencapai pandangan hukum mengenai ajaran sesat GISB, tetapi ia masih menunggu perkenan Majlis Raja-Raja.
  • Selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober, pandangan hukum ini akan dibawa kepada jawatankuasa fatwa negeri yang dipengerusikan oleh mufti negeri masing-masing.
  • Tiga negeri - Perlis, Selangor, dan Pahang - telah mengeluarkan pandangan bahawa ajaran GISB adalah sesat. Sultan Pahang telah memperkenankan fatwa bahawa pengikut GISB adalah menyeleweng dan sesat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam Muzakarah MKI pada 23 dan 24 September lalu.

“Kita sudah ada pandangan hukum yang dipersetujui terkait dengan GISB, cuma ia belum lagi diberi perkenan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 23 dan 24 Oktober ini.

“Selepas Majlis Raja-Raja beri perkenan kepada pandangan hukum terbabit dan negeri-negeri akan bawa pandangan hukum itu kepada jawatankuasa fatwa negeri dipengerusikan oleh mufti negeri masing-masing,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2024, di sini, pada Sabtu.

Jelasnya, ia dinamakan dengan terma pandangan hukum berikutan Jawatankuasa Fatwa MKI tiada kuasa untuk mengeluarkan fatwa kerana ia hanya boleh mengeluarkan pandangan hukum mengenai sesuatu fahaman untuk dipersembah kepada Majlis Raja-Raja.

Mohd Na’im mengulas demikian bagi menjawab mengenai pandangan fatwa tiga buah negeri -- Perlis, Selangor dan Pahang -- bahawa fahaman dibawa oleh GISB adalah sesat.

Terdahulu, Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISB sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat.