KUALA LUMPUR: Sebarang tuduhan atau fitnah yang cuba mengaitkan GISB Holdings dengan penyelewengan akidah adalah tidak berasas, tidak benar dan hanya bertujuan untuk merosakkan reputasi syarikat itu yang selama ini mematuhi ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

GISB dalam satu kenyataan menegaskan sejak penubuhannya pada 23 Oktober 2013, GISB Holdings Sdn Bhd tidak pernah terlibat atau menyokong mana-mana ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat oleh mana-mana negeri di Malaysia.

“Kami meminta semua pihak untuk menilai dengan adil dan bijaksana serta mengelakkan daripada menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“GISB Holdings Sdn Bhd akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan secara telus serta adil,”katanya dalam kenyataan pada Ahad.

GISB turut mengalu-alukan panduan dan nasihat daripada pihak berkuasa agama dalam usaha memperkukuhkan ekonomi halal dan memastikan sentiasa berada di landasan yang benar.

“Kami ingin menegaskan bahawa sebagai syarikat yang beroperasi di 20 buah negara, kami sentiasa mengutamakan pematuhan terhadap semua undang-undang dan peraturan, selaras dengan prinsip Islam yang kami junjung.

“Kami memahami tanggungjawab besar yang kami galas dalam memastikan setiap operasi dijalankan mengikut piawaian yang telah ditetapkan,dan kami komited untuk menjunjung tinggi akidah serta amalan Islam yang benar.

GISB turut berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar atas kenyataan media bertarikh 7 September 2024.

“Komitmen kami adalah jelas, GISB Holdings Sdn Bhd akan terus berusaha memastikan umat Islam di Malaysia sentiasa berada dalam akidah yang murni dan benar.

"Kami dengan rendah hati memohon sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia dalam usaha memperkukuhkan ekonomi halal dan membangunkan ekonomi bumiputera," kata kenyataan itu

GISB turut berharap rakyat Malaysia dapat bersama membangun dan mempertahankan industri halal dan negara akan terus aman, makmur serta diberkati ALLAH SWT. -- Sinar Harian