Pengusaha syarikat Zawara Coffee bakal menggantikan 'pelancar roket' pada trak mirip tentera dengan cawan kopi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Coffee Sdn Bhd, Kamarul Ariff berkata trak tersebut akan dicat semula dengan warna korporat Zawara iaitu hitam dan ungu.

"Kita akan cat semula mengikut warna korporat Zawara dan roket itu kita akan musnahkan sebab ia diperbuat daripada kaca gentian. Ia tidak menggambarkan roket pelancar hanya sekadar roket sahaja.

"Kita akan ubah roket itu dan gantikan dengan cawan (kopi) Zawara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

'Pelancar roket' yang dibuat daripada gentian kaca ini bakal digantikan dengan sebuah cawan kopi selain dicat semula dengan warna korporat Zawara Coffee - Foto Zawara Coffee

Beliau pada masa sama memohon maaf kepada rakyat Malaysia sekiranya gimik pengiklanan itu yang mirip trak pelancar roket tentera mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di negara ini.

"Kami memohon maaf atas tindakan ini yang telah mewujudkan kegusaran, dan setelah selesai kes ini, kita akan serta-merta berhenti menggunakan trak ini dan cat semula serta meletakkan cawan kopi Zawara di atasnya untuk menampakkan lebih mesra keluarga dan kanak-kanak," katanya.

Kamarul yang mengakui terkejut selepas trak tersebut ditahan berkata trak itu sudah digunakan selama sebulan dan diletakkan di beberapa lokasi seperti di Shah Alam dan The Curve di Damansara.

Zawara Coffee kini mempunyai tiga cawangan di Bukit Jelutong, Bangi dan Setapak, selain kafe konsep di Setia Alam, Taman Tun Dr Ismail, Cyberjaya, Putrajaya, The Curve dan Damansara.

Menurutnya, ia dibeli secara peribadi daripada Angkatan Tentera Malaysia dan diubah pendaftaran menjadi milik awam.

Semalam, polis Sepang menahan dua lelaki yang memandu kenderaan perisai tersebut di Jalan Semarak Api, Cyberjaya, selepas ia mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mengubah suai kenderaan.