TIDAK dapat dinafikan udara berkualiti merupakan satu nikmat yang memberikan impak besar kepada semua jenis hidupan di muka bumi ini. Udara berkualiti bermakna kehidupan yang lebih berkualiti, khususnya dalam aspek kesihatan.
Namun, aktiviti pembangunan yang pesat seiring peredaran masa menyaksikan kemerosotan kualiti udara yang dialami oleh semua negara di dunia ini, menyebabkan sebahagian negara maju telah mula mengorak langkah untuk membetulkan keadaan itu.
Malaysia juga tidak ketinggalan sekalipun usaha yang dilakukan belum lagi secara menyeluruh. Antara usaha itu ialah sambutan Hari Tanpa Pencemaran Bahan Api dan Hari Tanpa Kereta. Namun, kedua-dua program menuntut penglibatan orang ramai bagi memastikan kejayaan.
Setakat ini, Hari Tanpa Kereta dilaksanakan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT), antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2017 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2014.
Mengulas perkara itu, Felow Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Fariz Mohamed berkata MBSA melaksanakan program Hari Tanpa Kenderaan di Shah Alam pada Ahad minggu kedua setiap bulan.
Program itu adalah sebahagian usaha menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya rendah karbon menjelang 2030. Bagaimanapun program tersebut tidak dilaksanakan secara fizikal sekarang berikutan penularan pandemik COVID-19.
"Program anjuran DBKL pada 2014 dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia dan OCBC Bank pula membabitkan tujuh jalan utama iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tun Perak. Juga tidak dilaksanakan semasa pandemik. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dengan bilangan yang terlibat untuk kedua-dua program sangat ramai," katanya kepada Bernama.
Berhubung keberkesanan program berkenaan, Ahmad Fariz berkata disebabkan kedua-duanya hanya dilaksanakan pada hari dan waktu tertentu di kawasan dan jalan tertentu di Shah Alam dan Kuala Lumpur, maka kesannya tidak signifikan bagi keseluruhan bandar.
"Usaha DBKL dan MBSA menganjurkan hari tanpa kenderaan pada hari tertentu amat baik, namun pelaksanaannya terpaksa dilakukan pada hujung minggu, bukan pada hari bekerja. Program juga tidak meliputi keseluruhan Shah Alam dan Kuala Lumpur. Maka program ini hanya memberi kesan yang tidak signifikan dalam konteks pelepasan bahan cemar udara daripada kenderaan kerana kawasan lain tidak terlibat dan kenderaan masih bebas bergerak," katanya.
TIADA PROGRAM HARI TANPA BAHAN API
Berhubung sambutan Hari Tanpa Bahan Api yang dapat mengurangkan pencemaran udara, Ahmad Fariz berkata program seumpama itu tidak pernah dilaksanakan di Malaysia, terutama oleh mana-mana agensi kerajaan.
Menurutnya, kajian menunjukkan kawasan bandar dan perindustrian merupakan wilayah yang mengalami pencemaran udara akibat pembakaran bahan api yang lebih teruk berbanding kawasan lain. Sebahagian besar kawasan perindustrian di Malaysia berada di bawah pentadbiran PBT.
"Maka peranan pihak PBT amat kritikal. Selain daripada program Hari Tanpa Kenderaan, aspek lain untuk meningkatkan kesedaran awam juga perlu diberikan perhatian, terutama oleh pihak berkuasa tempatan dengan sokongan agensi lain khususnya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran pihak awam perlu dilakukan dengan lebih meluas. Aktiviti bersemuka dan libat urus masyarakat perlu dilakukan lebih kerap. Aktiviti pendidikan dan kesedaran perlu dibentuk dengan merujuk kepada keperluan setiap kumpulan masyarakat.
"Program untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, masyarakat awam, pihak industri dan syarikat swasta, malah untuk agensi kerajaan sendiri, perlu direka bentuk bagi memastikan kefahaman yang baik dan seterusnya meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih amalan dalam kalangan kumpulan sasaran," katanya.
PENGGUNAAN BAHAN API KENDERAAN DARAT PALING TINGGI
Kenderaan darat di Malaysia mencatatkan penggunaan bahan api paling tinggi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pencemaran bahan api di negara ini.
Ahmad Fariz berkata berdasarkan statistik jumlah kenderaan di atas jalan raya di Malaysia (sumber JPJ bagi 2000, 2016, 2018), jumlah kenderaan meningkat secara kumulatif dari 9,141,357 pada 1998 kepada 32,378,174 pada 2020.
"Peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 350 peratus itu telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan api, terutamanya petrol dan diesel, di Malaysia," katanya.
Menurut beliau, Menteri Sumber Asli Kanada pada 2014 menyatakan pembakaran satu liter petrol dianggar menghasilkan 2.3 kilogram karbon dioksida (CO2).
"Purata penggunaan petrol untuk setiap kenderaan di Kanada ialah sebanyak 2,000 liter. Ini akan menghasilkan 4,600 kg karbon dioksida. Oleh itu, jika menggunakan asas tersebut, dianggarkan jumlah pelepasan CO2 oleh kenderaan di Malaysia meningkat dari 42,050,242.20 tan pada 1998 kepada 148,939,600.40 tan pada 2020. Namun begitu, ini cuma maklumat anggaran dan memerlukan kajian terperinci," jelasnya.
Beliau berkata peningkatan pelepasan bahan cemar karbon oleh kenderaan di Malaysia turut dilaporkan dalam dokumen Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 2019.
Menurut laporan itu, jumlah pelepasan karbon per kapita Malaysia ialah sebanyak 7.9 tan/kapita pada 2011, melebihi purata negara berpendapatan sederhana yang mencatatkan 5.4 tan/kapita. Kenderaan darat merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 90 peratus (48,200 kilotan), dan daripada jumlah itu, 67 peratus disumbangkan oleh kereta.
KURANG PENCEMARAN UDARA KETIKA PKP DAN PPN
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas dan sekatan pergerakan di bawah fasa satu Pelan Pemulihan Negara susulan penularan COVID-19, turut mengurangkan pelepasan bahan cemar ke udara berikutan penurunan ketara jumlah kenderaan di jalan raya.
Ahmad Fariz berkata perkara itu adalah dapatan kajian yang dijalankan oleh beberapa penyelidik tempatan.
Menerusi kajian (2021) bertajuk "Air pollution impacts from COVID-19 pandemic control strategies in Malaysia. Journal of Cleaner Production" yang dijalankan oleh pensyarah di LESTARI UKM, Dr Murnira Othman dan pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM Prof Dr Mohd Talib Latif berhubung kepekatan bahan cemar udara untuk dua keadaan iaitu sebelum dan semasa PKP, terdapat perbezaan bagi bahan cemar PM10 (habuk halus); PM2.5; SO2 (sulfur dioksida); NO2 (nitrogen dioksida); O3 (ozon) dan CO (karbon monoksida).
"Berdasarkan analisis bagi dua tempoh kajian iaitu pertama dari 1 Jan hingga Mac 2020 dan kedua dari 18 Mac hingga 21 April 2020 melibatkan sembilan bandar di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Ipoh dan Alor Setar, didapati kepekatan semua bahan cemar yang dikaji telah menunjukkan penurunan yang agak signifikan.
"Kepekatan NO2 menurun secara purata 40 peratus dengan jumlah penurunan tertinggi ditunjukkan di Kota Kinabalu sebanyak 62 peratus. Bagi bahan cemar PM10; PM2.5; SO2; O3 dan CO, penurunan yang signifikan berlaku di Kota Kinabalu (17 peratus), Kuantan (9.5 peratus), Alor Setar (38 peratus), Kota Bharu (15 peratus) dan Ipoh (27 peratus)," katanya.
Bagaimanapun Ahmad Fariz berkata keadaan kualiti udara yang sangat baik itu tidak berkekalan kerana jumlah kenderaan di jalan raya kembali meningkat selepas PKP tamat pada April 2020.
Justeru kata beliau, langkah terbaik dalam mengurangkan pencemaran bahan api ialah menerusi sistem pengangkutan awam yang cekap termasuk memastikan kesalinghubungan kawasan yang luas bagi meningkatkan jumlah pengguna.
"Aspek seperti rangkuman kawasan yang luas dengan banyak stesen pengangkutan awam untuk bas, tren, teksi, disokong dengan kecekapan pergerakan kenderaan awam yang patuh masa, infrastruktur stesen yang mampu menampung keperluan pengguna yang ramai, terutama tempat letak kenderaan, amat penting untuk mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian di atas jalan raya, terutamanya di kawasan bandar, " katanya, menambah usaha itu sedang giat dilaksanakan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Peningkatan infrastruktur dan kecekapan pengangkutan awam di bandar-bandar utama Malaysia akan membantu mengurangkan bilangan kenderaan masuk ke bandar, terutamanya pada hari bekerja dan waktu puncak, katanya.
Selain itu, beliau berkata ketersediaan akses kepada kenderaan mesra alam merangkumi kenderaan cekap tenaga (EEV), kenderaan hibrid, kenderaan elektrik dan kenderaan sel fuel turut perlu diberikan perhatian.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) Zikrullah Ismail menekankan kepentingan membentuk masyarakat lestari, sekali gus menjadikan mereka lebih memahami perkara serta dasar berkaitan misi rumah hijau.
"Masyarakat akan lebih peka dengan isu berkaitan pelepasan gas rumah hijau termasuk isu pelepasan karbon jika banyak sesi libat urus dan dasar berhubung perkara ini dilaksanakan di peringkat negeri dan nasional serta pihak berkuasa tempatan," katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata LEKAS lebih bersetuju jika syor mengurangkan trafik dilihat secara menyeluruh dengan menerima guna perkara-perkara berkaitan yang mampu mengurangkan pelepasan asap daripada pengangkutan.
"Seperti di Pulau Pinang, kerajaan negeri ada mencadangkan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mana ideanya untuk mengurangkan trafik. Jadi kita tegaskan bentuk bagaimana penyuraian trafik yang mahu dibuat. Perlu lihat apa acuan dan modelnya. Jika langkah itu memberi hak yang lebih kepada kereta dan menyebabkan pembangunan begitu banyak infrastruktur jalan raya yang mengundang lebih banyak kenderaan persendirian, maka lebih memberikan implikasi.
"Jadi kita tidak bersetuju, tetapi jika PTMP melebihkan kenderaan awam kita lebih bersetuju," katanya dan menambah penggunaan kenderaan elektrik sebagai pengangkutan awam seperti bas elektrik oleh sistem Bas Rapid Transit adalah antara cara terbaik dalam mengurangkan pencemaran udara.
Beliau juga berkata pelebaran jalan raya dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik hanya akan meningkatkan lagi jumlah kenderaan di atas jalan.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Sep 21 2021
Pelebaran jalan raya dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik hanya akan meningkatkan lagi jumlah kenderaan di atas jalan. - Gambar hiasan
AWANI Review: Power of Vulnerability - Why Openness Makes Better Leaders
Nick Jonsson, co-founder of Executives’ Global Network Malaysia and author of Executive Loneliness, explores the hidden struggles of leadership - loneliness and mental health. In conversation with Cynthia Ng, he reveals how embracing vulnerability and openness can transform leaders and organisations for the better.
2TM: Lebih 200,000 pengunjung direkodkan dalam dua hari
Lebih 200,000 pengunjung direkodkan menghadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Johor negeri terbaru dilanda banjir
Sebuah PPS dibuka di Balai Raya Batu Badak, Segamat, 2 petang tadi, dengan menempatkan 11 orang daripada empat keluarga.
Polis tahan enam lelaki disyaki terbabit sindiket jual air ketum
Polis menahan enam lelaki tempatan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya kerana disyaki terbabit sindiket penjualan air ketum.
KPDN Pahang serbu dua premis jadi stor simpanan barang kawalan bersubsidi
KPDN Pahang melakukan serbuan terhadap sebuah restoran dan rumah yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan barang kawalan bersubsidi di Triang, Bera pagi tadi.
Seorang lagi wartawan terkorban dalam serangan Israel di Gaza, angka korban meningkat kepada 189
Mangsa, Wael Ibrahim Abu Quffa merupakan seorang wartawan dan pensyarah di Jabatan Kewartawanan dan Media, Universiti Islam Gaza.
10 Berita Pilihan - (23 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
AWANI Ringkas: Pendidikan | Pencemaran | Ekonomi
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Israel lakukan serangan udara di Beirut
Serangan udara itu menyasarkan sebuah bangunan kediaman di Jalan Fathallah, kawasan Basta Fawka yang padat penduduk.
AWANI 7:45 [23/11/2024] – Mangsa sindiran sejak jadi Perdana Menteri | Pelihara keharmonian negara | Tahan tiga suspek, keterangan 23 individu | Bercakap dengan lebah
Tak ambil gaji kena sindir, PM seloroh ambil gaji tahun depan.
Malaysia teguh kerana sepakat dalam perbezaan.
Bukan senyap, siasatan kes simbah asid Faisal Halim masih berlangsung.
Bunuh lebah, ancam bekalan makanan sedunia, laporan khas, Ridauddin Daud.
Malaysia teguh kerana sepakat dalam perbezaan.
Bukan senyap, siasatan kes simbah asid Faisal Halim masih berlangsung.
Bunuh lebah, ancam bekalan makanan sedunia, laporan khas, Ridauddin Daud.
Sidang kemuncak iklim PBB tidak capai apa-apa - Ahli sains Jerman
"Kita sudah mengadakan 28 sidang kemuncak, tetapi pelepasan gas telah meledak."
Tiada bukti pencemaran Pantai Esen disebabkan penambakan
Siasatan masih dijalankan termasuk ujian makmal sampel yang diambil di kawasan berkenaan oleh agensi berkaitan.
Pasukan penyelidik Jepun cipta plastik yang terurai dalam air laut
Plastik "supramolekul" itu mempunyai kekuatan tegangan yang setanding dan boleh diproses seperti plastik berasaskan petroleum.
Kualiti udara makin memburuk, kabus tebal selubungi utara India
Penduduk di utara India, termasuk ibu negara Delhi, terus berdepan kualiti udara yang sangat buruk sejak Ahad.
JAS siasat dakwaan pencemaran perairan berhampiran Masjid Terapung Pulau Pinang
Pengarah JAS negeri Norazizi Adinan berkata pihaknya meminta Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri untuk menjalankan siasatan.
Delhi kerah bot bermotor, 'waterjet' bersihkan Sungai Yamuna
Fenomena itu berlaku susulan pembuangan bahan kimia, sisa industri dan sisa kumbahan yang tidak dirawat ke dalam sungai.
Isu pencemaran di Telok Gong: SPRM beri jaminan akan ambil tindakan terhadap pihak berkuasa
Puluhan kilang haram kitar semula di Telok Gong berhampiran Pelabuhan Klang didakwa menjalankan operasi tanpa diganggu pihak berkuasa.
Pencemaran bau kimia: 38 Orang Asli dipindahkan ke balai raya
Seramai 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang ekoran pencemaran bahan kimia.
Lima premis e-waste dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan
Tindakan itu bertujuan menghentikan pencemaran daripada terus berlaku sehingga boleh mengganggu kesihatan penduduk yang berhampiran.
Paris 2024: Latihan renang air terbuka Olimpik dibatalkan di Sungai Seine
Sesi latihan untuk acara triatlon minggu lepas kerap dibatalkan setelah air gagal dalam ujian pencemaran dan satu acara ditangguhkan sehari.