Melalui kerjasama strategik bersama pemain industri utama sejak pelancarannya pada tahun 2022, Gentari berjaya mempercepatkan peralihan tenaga bersih di rantau ini menuju kepada masa depan sifar karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, pencapaian tahun ini membuktikan usaha berterusan syarikat dalam menyokong inisiatif penyahkarbonan.
“Saya berbangga dengan kemajuan Gentari dalam menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang praktikal sepanjang tahun 2024 di seluruh Asia Pasifik. Tahun ini, kerjasama dan fokus kami telah pun menyumbang kepada iniasitif penyahkarbonan dan menyokong kemajuan bermakna ke arah masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Gentari kini mempunyai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 8 gigawatt yang telah dipasang dan sedang dibangunkan di seluruh pasaran utamanya. Di Malaysia, projek tenaga solar terapung di Sarawak dan Terengganu dijangka menyumbang kepada peralihan tenaga bersih negara.
Sementara di India, Gentari mencapai penanda aras kemajuan yang penting termasuk pengoperasian projek solar yang bersambung dengan sistem penghantaran antara negeri (interstate transmission system), projek hibrid angin-solar, dan turbin angin bagi projek gabungan solar dan angin.
Dalam bidang hidrogen, Gentari berjaya mencapai kematangan peluang sebanyak 175 kilotan setahun, termasuk keputusan pelaburan (Final Investment Decision / FID) bersyarat bagi pembangunan loji ammonia hijau berkapasiti 1 MTPA bersama AMG Ammonia di India.
Projek hidrogen yang dicadangkan dan dirancang di Malaysia, India dan Singapura juga terus berkembang melalui pelbagai peringkat pembangunan. Selain itu, kerjasama strategik dengan MISC meningkatkan keupayaan logistik, sekaligus menyokong teras hidrogen Gentari.
Ketua Gentari India, Navjit Gill, berkata, perkembangan Gentari di India pada 2024 menyerlahkan peluang dalam landskap tenaga negara yang dinamik.
"Sebagai salah satu pasaran utama Gentari, kami komited untuk menyokong peralihan tenaga India yang sejajar dengan keperluan dan keutamaan tempatan,” jelasnya.
Australia turut menjadi lokasi penting dengan keputusan pelaburan bagi projek hibrid solar-BESS (Battery Energy Storage System), yang menyokong usaha memperluaskan kapasiti tenaga bersih Gentari di negara itu.
“Tanah luas dan sinaran matahari yang cukup banyak di Australia menjadikannya lokasi ideal untuk memperluaskan kapasiti tenaga bersih, khususnya solar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Solar Australia, Andrew Barson.
Gentari juga merekodkan kemajuan dalam sektor mobiliti hijau dengan membangunkan lebih kurang 1,000 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di rantau ini.
Ini membentuk sebahagian daripada rangkaian pengecasan merentasi sempadan yang melebihi 5,000 kemudahan pengecas di Malaysia, India, Thailand dan Singapura.
Perkhidmatan BESS pertama di Asia Tenggara turut diperkenalkan di Perak bagi menyokong pembangunan infrastruktur hijau.
Inisiatif “Vehicle-as-a-Service” (VaaS) Gentari kini mempunyai lebih 3,600 EV beroperasi di Malaysia, India dan Indonesia yang berjaya mengelak pelepasan karbon sebanyak 1,357 tan metrik CO2e (metric tonnes of carbon dioxide equivalent).
"Usaha mobiliti hijau Gentari mencerminkan komitmen kami untuk menangani cabaran pengangkutan yang unik di Asia Pasifik sambil menyumbang kepada peralihan ke arah kelestarian.
“Melalui inisiatif seperti membangunkan rangkaian roaming EV merentas sempadan dan tawaran VaaS kami, Gentari berusaha memudahkan perniagaan serta individu untuk menerima pakai penyelesaian pengangkutan bersih," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli,.
Gentari baru-baru ini menerima anugerah “Syarikat Peralihan Tenaga 2024” oleh Energy Council dalam majlis Asia Pacific Energy Capital Assembly Awards 2024.
Melangkah ke tahun baharu, Gentari berazam untuk terus memacu peralihan tenaga bersih di rantau ini bersama rakan kerjasama strategik.
Bagi mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan dan iniasitif Gentari boleh ikuti platform media sosial Facebook dan Instagram rasmi.