Gelombang kedua gerakan penyebaran ajaran Syiah yang dikaitkan dengan golongan pelampau atau ekstremis, dikesan mulai aktif kebelakangan ini, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Abdullah Md Zin.

Beliau berkata mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyebarluas ajaran itu dalam masyarakat Islam negara ini.

"Oleh itu, masyarakat Islam diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap gelombang kedua gerakan penyebaran ajaran ini, walau pun kegiatan mereka itu terkawal," kata beliau.

Masyarakat Islam perlu memastikan tidak terjebak dengan gerakan itu seperti mana dalam gelombang pertama sebelum ini, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Pendekatan Wasatiyyah Dalam Dakwah dan Kepemimpinan Islam 2014, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr. Asma Ismail dan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin.

Gerakan Syiah itu bukan saja menyasarkan masyarakat Islam biasa malah turut ke universiti bagi mempengaruhi golongan pensyarah dan pelajar.

Abdullah berkata beliau telah bertemu dengan Duta Iran ke negara ini bagi menjelaskan tentang gerakan berkenaan yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, amalan masyarakat Islam negara ini.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi mempunyai peranan menghindar ajaran tersebut daripada tersebar dalam masyarakat.

"Kita perlu menjelaskan dari awal lagi (masalah Syiah) supaya ia tidak menjadi barah.

"Dia sangat cepat merebak," katanya.