KUALA LUMPUR: Polis merampas peralatan darjah kebesaran palsu daripada seorang pengarah sebuah syarikat telekomunikasi berhubung dakwaan penggunaan gelaran Dato' Sri palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan diterima pihaknya daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

"Susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran yang palsu telah dirampas daripada penama.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain yang terlibat dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ramli berkata, pihaknya menasihatkan mana-mana individu supaya tidak sewenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia merupakan kesalahan jenayah.

Tambahnya, dalam kes ini, pengarah itu boleh dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.

"Jika disabitkan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," ujarnya.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian