Tangan kiri seorang pelajar tingkatan lima tertusuk jeriji pagar sekolah, gara gara ingin pulang awal dengan memanjat pagar itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu, pelajar berumur 18 tahun itu bersama-sama 20 rakannya yang mahu pulang awal bertindak memanjat pagar tersebut.

"Saya gagal melepasi pagar tersebut lalu terjatuh sehingga menyebabkan tangan saya tersangkut pada jeriji pagar berkenaan," kata pelajar itu kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Rantau Panjang di sini, hari ini.

Beliau terpaksa menahan kesakitan hampir sejam sebelum diselamatkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan dihantar ke Hospital Lati di sini untuk rawatan.

"Saya yang berada dalam keadaan tergantung ketika itu terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat, sebelum pihak bomba tiba," katanya yang menerima 30 jahitan.