Kawasan Kampung Binjai sehingga Jalan Teluk Kumbar dekat sini akan mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam pada Sabtu ini berikutan projek nak taraf jalan di situ.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya terpaksa membuat lencongan saluran paip bekalan air di kawasan itu bagi membolehkan projek naik taraf jalan yang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Batu Maung sehingga Jalan Sultan Azlan Shah.

"Sehubungan itu, PBAPP terpaksa melencongkan saluran paip air 600mm iaitu paip keluli lembut sedia ada di sepanjang Jalan Permatang Damar Laut pada Sabtu ini.

"Tiga penyambungan paip utama dijadualkan di Jalan Permatang Damar Laut dan kami terpaksa menutup saluran paip 600mm itu dari Kampung Binjai hingga Jalan Teluk Kumbar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya berikutan penutupan saluran paip itu, ia akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di kawasan berkenaan bermula 9 pagi hingga 9 malam pada Sabtu ini.

Jaseni berkata kawasan yang terjejas Jalan Permatang Damar Laut, kawasan Masjid Jamek Kampung Binjai, Kampung Binjai, Taman Sri Bayan Emas, Kampung Padang, Kampung Seronok, Kawasan Masjid Kampung Seronok, Kampung Baru, Taman Sakura 28 dan Kampung Bukit.

Katanya seramai 5,500 orang akan terjejas berikutan gangguan bekalan air itu dan pengguna dinasihatkan untuk menyimpan air mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

"Bagaimanapun bekalan air di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan kawasan zon perdagangan Bayan Lepas tidak akan terjejas," katanya.

Beliau berkata kerja pelencongan paip itu perlu bagi membalehkan projek JKR yang sedang dilaksanakan itu berjalan lancar dan saluran paip bekalan air PBAPP mesti dilencongkan dengan selamat untuk mengelak kejadian tidak diingini serta memastikan bekalan air yang baik dan berterusan pada masa depan. -- Bernama