SEBARANG cadangan untuk menaikkan gaji dalam negara kita wajar diberi pertimbangan dari pihak kerajaan kerana ia dapat juga memberi kesan atau impak positif pada negara kita khususnya dalam menghadapi masalah kos sara hidup serta bagi mengatasi masalah jenayah rasuah.
Baru – baru ini pihak Kongres Kesatuan Pekerja – Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan menetapkan gaji minimum dalam negara kita sebanyak RM1,800 sebulan. Pihak – pihak yang berkaitan terutamanya pihak kerajaan sekurang – kurangnya boleh bertemu dan duduk berbincang dengan pihak Cuepacs bagi mendalami cadangan yang telah dikemukakan terbabit dengan lebih teliti sebelum memberi sebarang kata putus mengenainya.
Sering diperkatakan semenjak kebelakangan ini terutamanya melalui media massa mengenai masalah jenayah rasuah berlaku dalam negara kita. Persoalannya sekarang kenapakah perkara ini dilihat semakin hari semakin serius berlaku? Pelbagai faktor penyebab telah diberikan oleh pelbagai pihak mengenai isu ini. Antara faktor penyebab yang paling utama yang sering dikatakan ialah kerana berlakunya masalah kenaikan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan gaji yang diterima tidak setimpal dengan keadaan persekitaran ekonomi semasa serta masalah kelembapan pertumbuhan ekonomi yang berlaku diseluruh dunia termasuk di dalam negara kita sendiri.
Masalah ini telah menyebabkan ramai pihak terpaksa mengambil jalan mudah untuk terlibat dalam kesalahan rasuah ini serta ke dalam kesalahan jenyah – jenayah yang lain. Kebanyakan punca rasuah ini juga dikatakan berlaku disebabkan oleh faktor individu itu sendiri. Kelemahan sahsiah peribadi merupakan satu masalah yang sukar untuk ditangani. Kelemahan sifat peribadi ini berlaku disebabkan oleh kurangnya iman serta jati diri yang terdapat di dalam individu terbabit. Sesetengah individu yang sentiasa bersikap tamak dan ingin cepat kaya biasanya akan mengambil jalan mudah dengan menerima suapan daripada pemberi rasuah kerana mereka sudah kehilangan sifat jujur, amanah dan juga kawalan terhadap diri mereka sendiri. Selain daripada punca kelemahan sifat peribadi, kekurangan pengangan serta didikkan agama juga akan menyebabkan timbulnya masalah rasuah.
BACA: Cuepacs cadang kerajaan semak semula gaji penjawat awam setiap lima tahun
Jenayah rasuah memberi pelbagai kesan kepada negara, masyarakat dan juga individu itu sendiri. Kesan jenayah rasuah kepada negara akan menjejaskan kecekapan pentadbiran negara dan seterusnya akan menyebabkan negara berada dalam keadaan kuncar – kacir . Contohnya, seperti yang berlaku di Filipina beberapa dekad yang lalu yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan Presiden Ferdinand Marcos serta konco – konconya dari tampuk kepimpinan disebabkan jenayah rasuah yang banyak serta yang tidak dapat terbendung. Selain daripada menjejaskan nama baik negara, ekonomi sesebuah negara juga turut terjejas dengan jenayah rasuah ini.
Usaha membasmi jenayah rasuah dalam negara kita boleh diambil dengan mengambil segala langkah yang komprehensif yang meliputi semua sudut. Antara langkah yang perlu diambil untuk mengatasi jenayah rasuah ini ialah dengan menguatkuatkuasakan undang – undang dan hukuman yang berkaitan dengan jenayah rasuah seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] dan Kanun Keseksaan [Akta 574].
Hal ini adalah perlu bagi memastikan pengamal rasuah berfikir banyak kali sebelum melakukan jenayah rasuah. Aspek penguatkusaan yang tegas perlu diambil terhadap mana – mana pihak yang terlibat dengan jenayah rasuah. Hukuman yang berat perlu dijatuhi kepada pesalah rasuah agar mereka serik untuk melakukan jenayah rasuah di kemudian hari serta dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat umum untuk tidak terjebak dalam jenayah rasuah ini.
Sudah sampai masanya para majikan bagi semua sektor dalam negara kita baik di sektor awam mahupun di sektor swasta untuk mempertimbangkan cadangan bagi menaikkan kadar gaji para pekerja. Dengan menghadapi suasana ekonomi semasa dalam dan luar negara yang kurang menentu serta masalah kenaikkan kos sara hidup sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi tekanan kewangan kepada semua pihak. Seperti yang telah dinyatakan, antara punca utama yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak ke kancah rasuah adalah disebabkan faktor kurangnya punca pendapatan sedia ada serta faktor keadaan ekonomi atau kos sara hidup yang meningkat tinggi. Selain daripada terjebak dengan masalah jenayah rasuah, pekerja terbabit juga akan mudah terdedah dengan aktiviti – aktiviti yang kurang sihat yang lain seperti terlibat dengan pinjaman wang dari pihak – pihak yang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai ah long bagi memenuhi pendapatan mereka serta menghadapi suasana keadaan ekonomi semasa yang kian mencabar.
Oleh itu, sudah sampai masanya pihak – pihak yang berkaitan untuk duduk berbincang bagi mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan gaji para pekerja disemua sektor pekerjaan dalam negara selari dengan kenaikkan kos sara hidup tinggi yang dihadapi pada masa kini. Dengan kenaikkan kadar gaji semasa maka seseorang pekerja itu tidak akan mudah untuk terjerumus ke kancah jenayah rasuah serta terjebak ke dalam aktiviti – aktiviti yang kurang sihat yang lain yang boleh memudaratkan diri mereka.
* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI