ALOR SETAR: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah hari ini didenda RM41,300 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik kepada individu yang menuntut wang berjumlah RM169,577 pada 2020.

Syarikat itu didenda RM3,000 bagi 10 pertuduhan dan RM3,300, RM4,500 serta RM3,500 untuk tiga lagi pertuduhan dan waran melevi akan dikeluarkan sekiranya syarikat itu gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan TTPM antara 22 Januari, 17 Februari dan 3 Mac 2020 supaya membayar balik wang berjumlah antara RM6,990 dan RM27,560 dalam tempoh 14 hari kepada 13 individu yang menuntut wang itu.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan dituduh mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd Hilmi Abu Hassan manakala syarikat itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu, KPDN Kedah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan syarikat berkenaan juga didenda RM39,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas 13 lagi pertuduhan yang sama kerana gagal mematuhi perintah TTPM untuk membayar semula wang dituntut 13 individu.

Menurut kenyataan itu, syarikat tersebut didenda RM3,000 bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Pengarah syarikat itu juga sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

-- BERNAMA