Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan zakat Kumpulan Felda berjumlah RM23.1 juta.

Zakat perniagaan itu diserahkan kepada 14 pusat pungutan zakat negeri sempena majlis berbuka puasa di Seri Perdana, di sini hari ini.

Jumlah berkenaan adalah bagi pembayaran zakat perniagaan tahun 2014 oleh rangkaian anak syarikat Felda iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebanyak RM18.3 juta, Koperasi Permodalan Felda (RM4.1 juta), Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Bhd (RM121,476) dan Koperasi Pekerja Felda Malaysia Bhd (RM39,357).

Zakat berkenaan diserahkan Najib kepada Menteri Besar; Ketua Menteri dan wakil pusat zakat bagi 14 buah negeri di mana Felda menjalankan operasi perniagannya.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Felda, perkembangan berterusan perniagaan Kumpulan Felda membolehkan ia membayar zakat sekali gus memberikannya peluang untuk membantu lebih ramai golongan masyarakat Islam yang memerlukan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir di majlis tersebut bersama menteri-menteri kabinet, duta-duta negara serta pengurusan Kumpulan Felda.

Pada majlis sama, Najib bersama isteri turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Anak Yatim Insaniah Sri Kandi, Kuala Lumpur sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.