Individu berkaitan yang membuat dakwaan wujudnya pusat pelacuran di Tanah Suci Mekah dan Madinah diminta menunjukkan bukti yang sahih dan jelas.

Penasihat Aktivis Belia Tanahair (Abata), Dr Fathul Bari Mat Jahaya menegaskan, berdasarkan pengalaman beliau menetap di Madinah Al Munawwarah selama empat tahun, tidak pernah sekalipun terdengar perbincangan apatah lagi yang mempersoalkan kewujudan pusat maksiat berkenaan.

"Wallahu a'lam , mungkin saya tidak tercari-cari hal tersebut (pusat pelacuran) tetapi saya hairan bagaimana orang yang Wallahu a'lam berapa kali dia datang ke Mekah tetapi tiba-tiba menyatakan wujudnya pusat pelacuran, saya tidak pasti.

"Cuma saya minta, bagi yang mendakwa, berikan bukti. Bukti bagi mereka yang mendakwa. Sila berikan bukti, itu prinsip asas, jelas dalam agama. Kedua buat laporan kerana di sana ada Bahagian Jabatan Amar ma'ruf dan nahi munkar," katanya ketika mengulas dakwaan wujudnya pusat pelacuran di Tanah Suci Mekah dan Madinah menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman webnya, drfathulbari.com.


Jika di Malaysia, katanya, individu yang membuat dakwaan itu boleh membuat laporan di Kedutaan Arab Saudi.

Tambahnya lagi dengan memberi contoh, satu ketika dahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pernah bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk membuat tangkapan gerakan Al-Arqam di Mekah.

"Demikian juga kalau dapat maklumat mengenai pelacuran saya yakin 100 peratus, sekiranya dapat diberikan dengan bukti, fakta dan sumber yang tepat, Insha'Allah kerajaan Arab Saudi tidak akan tunggu untuk mengambil tindakan ke atas pusat maksiat seperti ini. Itu yang saya minta," katanya lagi.

Dr Fathul Bari berkata walaupun perkara tersebut tidak lagi dibicarakan di media sosial, namun beliau mahu semua pihak bermuhasabah bukan sahaja dalam isu ini tetapi terhadap semua perkara yang membabitkan tuduhan dan fitnah.

Semua perkara itu, katanya, perlu diteliti dan dikaji kebenaran serta kesahihannya.

"Jika benar, dakwa. Jika benar laporkan supaya ia boleh diambil tindakan. Wallahu a'lam," jelasnya sebagai mengakhiri pandangannya mengenai dakwaan seorang jurufoto merujuk kepada Kota Suci Mekah dan Madinah baru-baru ini.