PETALING JAYA: Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia harus mempertimbangkan perkembangan global yang ketara sejak sedekad lalu dan menilai situasi semasa sebelum menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kata Timbalan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Timo Goosmann.

Beliau berkata EU dan Malaysia berkongsi hubungan dalam pelbagai aspek dengan kerjasama yang mantap merentasi pelbagai sektor, yang mana ia boleh dipertingkatkan lagi melalui pemeteraian FTA.

"Dunia mengalami perubahan dengan hebat sejak beberapa dekad yang lalu, dan dunia berubah semasa kita sedang bercakap, jadi saya fikir EU dan Malaysia perlu belajar dan menganalisis perubahan sepanjang tahun lepas.

"Tetapi saya berasa sangat optimis bahawa kami mencari jalan untuk bersetuju dengan syarat bagi memulakan semula rundingan ini dan saya percaya EU dan Malaysia memperoleh banyak keuntungan daripada pemeteraian FTA," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Delegasi EU ke Malaysia dan Sunway Group hari ini.

Goosmann mengakui terdapat pelbagai kegiatan yang berlaku di antara Malaysia dan EU, yang terdiri daripada interaksi di antara manusia, pendidikan dan pelaburan.

Rundingan FTA Malaysia-EU (MEUFTA) telah dilancarkan secara rasmi pada 5 Okt, 2010 dan ia berlangsung sebanyak lapan pusingan di antara Disember 2010 dan September 2012.

Rundingan itu buntu pada tahun 2012 kerana kedua-dua pihak telah kehabisan pilihan dalam rundingan pada masa itu.

Selepas itu, ia telah bersetuju bahawa rundingan akan disambung semula apabila terdapatnya mandat baru dan/atau fleksibiliti yang tersedia untuk kedua-dua pihak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pejabat Pengerusi Sunway Group Ong Pang Yen berkata perkongsian di antara EU dan Sunway mencerminkan semangat dan kepentingan Matlamat Pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), khususnya UN SDG 17-- Kerjasama demi matlamat.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan EU dan negara anggotanya untuk melakukan sebanyak mungkin dalam membuat kemajuan yang bermakna dan bermatlamat ke arah mencapai sebanyak mungkin UN SDG di Malaysia dan di seluruh rantau ini," tambahnya.

Perkongsian ini menekankan komitmen bersama terhadap kemampanan dan menangani perubahan iklim, dengan matlamat untuk memacu kemajuan ketara dalam amalan mampan di seluruh negara.

-- BERNAMA