PERKATAAN Koronavirus dan COVID-19 kini merupakan satu terma yang tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia, malahan di seluruh dunia. Sejak mula dilaporkan pada Disember 2019, sebanyak 3.4 juta kes melibatkan lebih 240,000 kematian telah dilaporkan di seluruh dunia. Di Malaysia pula sebanyak 4,530 kes telah dilaporkan dengan jumlah kematian sebanyak 73 orang. Satu angka yang amat menakutkan yang berlaku dalam jangka masa yang singkat.
Bagi memerangi virus COVID-19 ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 yang kini berlanjutan hingga fasa ketiga sehingga 12 Mei 2020.
Kebanyakan rakyat Malaysia berhadapan dengan satu realiti baru yang belum pernah ditempuhi sebelum ini iaitu tidak dibenarkan keluar rumah tanpa sebab yang kukuh, dikhususkan waktu yang dibenarkan keluar rumah, tidak dibenarkan memandu lebih dari seorang dengan radius 10km dari rumah masing-masing dan banyak lagi.
Dengan pertambahan masa yang kini menjadi satu kemewahan bagi sebilangan besar rakyat Malaysia, semakin banyak masa dihabiskan di media sosial.
Dengan kemodenan media massa, semua maklumat boleh ditularkan serta-merta sama ada maklumat itu benar ataupun tidak. Maka semakin berleluasa rantaian pesanan Whatsapp, Telegram, perkongsian Facebook dan ulang kicau Twitter yang berkongsi maklumat mengenai virus COVID-19 ini.
Secara amnya, sifat ingin berkongsi maklumat itu merupakan satu perkara yang baik, tetapi ia juga boleh menjadi serampang dua mata jika maklumat itu tidak tepat dan boleh menyebabkan kekeliruan hingga boleh membahayakan kesihatan orang lain. Oleh itu, beberapa perkara akan diulas untuk memastikan rakyat Malaysia memahami isu-isu penting mengenai COVID-19 ini.
COVID-19 atau Koronavirus?
Pertama sekali, perkataan COVID-19 itu sendiri bukan merujuk kepada virus tetapi merujuk kepada nama penyakit yang disebabkan jangkitan Coronavirus ini. Pada babak permulaan pandemik dunia ini, perkataan virus Wuhan (Wuhan Virus) digunakan sebelum badan kesihatan dunia (World Health Organization - WHO) mengeluarkan sebarang garis panduan. Amerika Syarikat juga dalam beberapa kenyataan menggunakan perkataan Chinese Virus (Virus China) yang bersifat agak perkauman dan negatif dalam keadaan dunia berhadapan pandemik terbaru.
WHO kemudiannya membuat keputusan untuk menamakan virus ini secara rasmi sebagai Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2). WHO juga menerima pakai perkataan virus COVID-19 untuk merujuk kepada virus ini. Bagi mengelakkan kekeliruan dengan wabak SARS yang melanda Asia pada awal tahun 2003, WHO telah menamakan penyakit yang disebabkan SARS-CoV-2 ini sebagai Coronavirus Disease (COVID-19).
Dalam erti kata mudah, jangkitan virus SARS-CoV-2 kepada manusia menyebabkan manusia menghidap penyakit COVID-19. Coronavirus pula merujuk kepada satu kumpulan virus yang besar yang juga merangkumi virus-virus lain yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia termasuk SARS-CoV (Penyakit SARS), MERS-CoV (Penyakit MERS) dan lain-lain virus.
SARS-CoV-2 adalah virus baru ciptaan manusia di dalam makmal yang belum pernah ditemui sebelum ini.
Peminat teori konspirasi amat gemar menyebarkan berita-berita seperti ini dan cuba mengaitkan perkara-perkara yang tidak berkaitan untuk disulam menjadi fakta palsu. Tiada bukti kukuh yang boleh menunjukkan SARS-CoV-2 dicipta oleh manusia di dalam makmal melalui teknik biokejuruteraan.
Seperti yang telah diterangkan, SARS-CoV-2 tergolong di dalam kumpulan famili Coronavirus, yang juga terdiri dari virus-virus lain yang pernah menyebabkan penyakit kepada manusia seperti SARS dan MERS. Malah, nama virus ini sendiri iaitu SARS-CoV-2 yang berkait rapat dengan SARS-CoV yang menyebabkan penyakit SARS, menunjukkan bahawa virus SARS-CoV-2 ini wujud secara alami.
Walaubagaimanapun, saintis masih tidak dapat membuktikan asal-usul virus COVID-19 ini. Penyakit SARS yang disebabkan virus SARS-CoV pada tahun 2003 dikatakan berasal dari kelawar, dan hasil kajian terkini menunjukkan virus COVID-19 mempunyai persamaan sebanyak 88% apabila dibandingkan dengan virus SARS-CoV.
Saintis dari Yunnan University pula berjaya membuktikan bahawa virus SARS-CoV-2 ini mempunyai persamaan genetik sebanyak 91.02% apabila dibandingkan dengan virus Pangolin-CoV (Coronavirus di dalam tenggiling) dan 90.55% dengan BatCoV (Coronavirus di dalam kelawar - RaTG13).
Ini menunjukkan, kemungkinan besar, virus SARS-CoV-2 atau virus COVID-19 juga berasal dari haiwan mamalia yang seterusnya menjangkiti manusia dan menyebabkan penyebaran virus secara berleluasa.
Berjemur di bawah matahari, minum dan mandi air panas, minum air suam, ubat partikel perak (Colloidal Silver) boleh membunuh virus dan merawat penyakit COVID-19
Benar, virus COVID-19 ini masih berusia hampir 5 bulan sejak dilaporkan dan masih banyak yang belum difahami mengenai virus ini. Dengan ketiadaan maklumat yang sahih, maka bertebaran nasihat-nasihat yang mungkin membahayakan kesihatan jika dibaca oleh orang yang mengambilnya secara langsung tanpa soal selidik.
Tiada bukti yang menunjukkan berjemur di bawah matahari dan minum air panas boleh membunuh virus COVID-19 dan menghalang jangkitan. Ini jelas dibuktikan apabila kebanyakan negara yang bersuhu panas yang menerima cahaya matahari yang tinggi dengan suhu yang panas turut merekodkan jangkitan virus COVID-19.
Laman sesawang WHO juga memuat naik mengenai perkara ini apabila mengatakan berjemur di bawah matahari pada suhu melebihi 25oC atau suhu yang sejuk tidak dapat melindungi kita dari jangkitan virus COVID-19.
Minum air suam dengan banyak juga sememangnya digalakkan untuk mengekalkan keseimbangan badan dan kesihatan. Tetapi apabila rantaian mesej seperti “Doktor di Jepun telah menemui penawar COVID-19 iaitu dengan minum satu cawan air suam setiap 15 minit….” disebarkan, ia sebenarnya lebih kepada penipuan yang dicipta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Tiada kajian juga yang berjaya menunjukkan dengan meminum air suam sahaja boleh ‘mencuci’ virus apatah lagi virus COVID-19 yang baru ini.
Di media sosial, terma Colloidal Silver juga mula dikongsi sesama rakan sebagai ubat bagi penyakit COVID-19. Colloidal Silver merupakan ubat yang mengandungi partikel kecil perak yang dikatakan mujarab untuk meningkatkan sistem imun badan dan merawat penyakit COVID-19. Pakar kesihatan telah menggariskan bahawa Colloidal Silver ini tidak selamat untuk dimakan malah boleh menjejaskan hati, ginjal dan menyebabkan penyakit lain, apatah lagi untuk merawat penyakit COVID-19. Oleh itu, usah kita terpedaya dengan maklumat yang tidak bertanggungjawab seperti ini.
Warga emas lebih mudah menghidap penyakit COVID-19 berbanding generasi muda?
Tidak. Semua peringkat umur boleh dijangkiti dengan virus ini jika terdedah.
Malahan, bayi yang baru lahir di kota London pada 16 Mac 2020 juga dilaporkan menghidap penyakit ini dipercayai dari ibunya sendiri. Jika kita susuri kenyataan-kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkara ini, apabila diumumkan mengenai berita sedih kematian rakyat Malaysia, penyakit lain yang dihidapi pesakit COVID-19 turut akan diumumkan.
Sebenarnya penyakit COVID-19 ini boleh mengakibatkan kesan yang lebih buruk kepada pesakit yang sudah pun menghidap penyakit lain seperti semput, kencing manis, penyakit jantung dan lain-lain yang selalunya dihidapi warga emas.
Mungkin disebabkan ini, kekeliruan wujud dengan mengatakan warga emas lebih mudah menghidap penyakit ini. Malahan, kes positif ke-2864 Malaysia iaitu wanita berusia 23 tahun yang merupakan pesakit termuda yang terkorban di dalam episod hitam wabak ini juga memiliki rekod menghidap penyakit tiroid.
Oleh itu, semua pihak tanpa mengira umur perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19 ini.
Penawar bagi COVID-19 telah ditemui?
Ini merupakan antara salah satu rantaian mesej yang paling banyak ditularkan di dalam media sosial. Pelbagai resepi dan ramuan disenaraikan kononnya boleh mengubati atau mencegah penyakit COVID-19.
Air rebusan bawang putih, mandian halia, pati buah lemon dan banyak lagi resepi dikongsi dengan gelojoh. Tidak dinafikan, ramuan asli tumbuh-tumbuhan mempunyai fitokimia yang mempunyai banyak kebaikan seperti anti-bakteria, meningkat sistem imun badan dan lain-lain.
Tetapi untuk menyatakan dengan khusus bahawa ia merupakan penawar kepada penyakit COVID-19 merupakan satu perkara yang mengelirukan secara melampau. Penyakit ini telah meragut nyawa hampir 100,000 manusia di seluruh dunia dengan lebih 1.69 juta jangkitan.
Mengapa virus ini masih terus menjangkiti manusia jika resepi yang dikongsi begitu mujarab? Usah kita terperangkap dengan perkara-perkara seperti ini, dan kita seharusnya terus mendengar arahan dan maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai sumber rasmi.
Setakat hari ini, WHO atau mana-mana agensi kesihatan dan negara-negara dunia masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi yang mereka telah menemui penawar khusus bagi penyakit COVID-19 ini. Terkini, percubaan klinikal solidarity (Solidarity clinical trial) telah dilancarkan oleh WHO di peringkat antarabangsa bersama 90 negara-negara dunia termasuk Malaysia untuk mencari rawatan yang efektif bagi merawat penyakit COVID-19 ini.
Secara mudah percubaan ini melibatkan penggunaan ubat-ubatan yang pernah digunakan untuk merawat penyakit lain dan menunjukkan kesan positif kepada pesakit COVID-19. Antara ubatan yang diumumkan oleh WHO untuk digunakan di dalam percubaan ini ialah Remdesivir (menunjukkan kesan positif bagi merawat MERS dan SARS), Lopinavir/Ritonavir (digunakan bagi merawat HIV) dan Chloroquine dan Hydroxychloroquine (digunakan bagi merawat Malaria dan penyakit reumatologi).
Terdapat juga cadangan untuk menggunakan plasma darah pesakit yang telah sembuh untuk merawat pesakit COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah membuat beberapa kenyataan akhbar berkenaan penglibatan Malaysia di dalam percubaan ini dan penggunaan rawatan ubat-ubatan ini.
Namun, perlu diingatkan bahawa penggunaan ubat-ubatan ini tanpa arahan dan pengawasan doktor adalah berbahaya dan tidak dibenarkan.
Teruskan amalan menjaga kebersihan diri, menjaga kesihatan, menjaga jarak sosial dan merujuk pakar kesihatan
Semua rakyat Malaysia seharusnya mengikuti arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh KKM dan pakar kesihatan yang diiktiraf dari masa ke semasa dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.
Usah kita terperangkap dengan berita dan nasihat palsu di media sosial atau promosi ubatan dan makanan tambahan yang meragukan. Kita harus terus menjaga kesihatan, kebersihan diri, kerap mencuci tangan, menggunakan topeng muka semasa keluar dari rumah, menggelakkan tempat yang dikunjungi ramai orang, menjaga jarak sosial dan lain-lain bagi memastikan kita sama-sama berusaha memutuskan rantaian jangkitan virus ini.
Sama-sama kita patuhi arahan PKP yang sedang berlangsung ini kerana kesihatan dan nyawa tidak dapat diganti dengan wang ringgit.
*Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar merupakan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Ts Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar
Sat May 02 2020
Sejak COVID-19 menjadi perhatian dunia, banyak fakta dan mitos yang terhasil
China bakal laksana dasar visa percuma untuk sembilan negara lagi
Pengecualian visa akan diberikan kepada pemegang pasport biasa dari Bulgaria, Romania, Croatia, Montenegro, Macedonia Utara, Malta, Estonia, Latvia dan Jepun secara percubaan.
Piala Malaysia: Perak mula bergaya, KDA belum selamat
Perak FC merobek gawang KDN FC menerusi Clayton Da Silva yang menanduk masuk hantaran Adilet Kanybekov pada minit ke-22.
Masyarakat pelbagai linguistik jadi pemangkin keharmonian Malaysia
Masyarakat itu bukan sahaja tahu untuk berkomunikasi, tetapi juga menghargai kepelbagaian budaya dan bahasa yang ada di sekeliling mereka.
Misi Jelajah Dunia Akhir BWF Aaron-Wooi Yik terima tamparan
Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kehebatan pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan.
Kerajaan Pahang tingkatkan Bantuan Prihatin Pahang Siswa kepada RM14.18 juta
Peningkatan RM6.18 juta itu bagi membolehkan peruntukan BPP Siswa diagihkan kepada 19,525 mahasiswa daripada pelbagai IPT.
RM10 untuk dapatkan salinan sijil SPM di Program 2TM
Harga asal bagi penggantian sijil SPM ialah RM30 dan 'kadar istimewa' itu hanya berlangsung hingga hari terakhir program pada Ahad ini.
KKDW perkenal konsep Smart Village, perkasa komuniti desa dengan teknologi moden
Projek rintis 'Smart Village' KKDW akan diadakan di tiga kampung yang memenangi Anugerah Desa MADANI (ADM) 2024.
Empat projek sedang, bakal dilaksana JPS atasi risiko banjir akibat air pasang besar
Sebanyak empat projek sedang dan bakal dilaksanakan JPS Melaka di beberapa lokasi pesisir pantai negeri ini bagi mengurangkan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar.
Skim galakan guna motosikal elektrik MARiiCas hampir capai sasaran 2024 - MARii
Inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) terbukti mendapat sambutan dan hampir mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini.
Lebih 90 peratus usahawan belum manfaatkan e-Invois
Majoriti atau dianggarkan lebih 90 peratus usahawan, terutama yang berpendapatan tahunan RM25 juta ke bawah, masih belum memanfaatkan sistem e-Invois yang mula diperkenalkan pada 1 Ogos lepas.
Episod hitam COVID-19 dan Koronavirus: Antara fakta dan mitos
Dengan pertambahan masa yang kini menjadi satu kemewahan bagi sebilangan besar rakyat Malaysia, semakin banyak masa dihabiskan di media sosial.