Sekiranya Malaysia mahu mencapai status negara maju dan inklusif dalam tempoh lima tahun lagi, pembangunan ekonomi tidak lagi boleh dilaksanakan sebagaimana biasa.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan akan melaksanakan anjakan dasar pembangunan dan merangka pendekatan baharu bagi menangani pelbagai cabaran baharu dan sedia ada.

Sehubungan itu, enam teras strategik telah diperkenalkan bagi membantu Melaysia sentiasa bersedia menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang berikutan perubahan landskap global dan politik yang pantas.

Tempoh RMK11 disifatkan sebagai kemuncak 30 tahun perjalanan menuju Wawasan 2020. Lebih daripada itu, ia juga menjadi platform untuk memacu pertumbuhan negara.

Memperkukuh pembangunan inklusif ke arah masyarakat yang saksama

Pembangunan inklusif bukan sahaja untuk meningkatkan kesejahteraan individu dan masyarakat, malah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kukuh bagi tempoh yang lebih panjang.

Untuk itu, kerajaan komited untuk memastikan peluang saksama diperoleh semua segmen masyarakat, terutamanya isi rumah B40. Golongan itu bakal mendapat akses lebih baik terhadap pendidikan dan latihan berkualiti, infrastruktur dan kemudahan asas yang cekap, pekerjaan lebih baik dan peluang keusahawanan serta pemilikan kekayaan.

Sementara itu, kawasan laur bandar akan ditransformasikan melalui penambahbaikan ketersambungan dan mobiliti serta pewujudan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Semua isi rumah dijangka menikmati peningkatan pendapatan dan isi rumah B40 akan tergolong dalam kumpulan masyarakat kelas menengah.

teras strategik
Pembangunan inklusif adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kukuh bagi tempoh lebih panjang.
- Gambar fail

Meningkatkan kesejahteraan rakyat

Pendekatan pembangunan yang seimbang bakal dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat iaitu merujuk kepada taraf serta kualiti hidup dari aspek sosioekonomi, fizikal dan psikologi.

Kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi akan dipertingkat apabila setiap rakyat akan mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan dan rumah mampu milik yang berkualiti.

Kawasan kejiranan dan tempat awam yang lebih selamat akan membolehkan rakyat menikmati ketenangan fikiran dan komuniti dapat hidup maju dan makmur.

Masyarakat Malaysia akan berada dalam kelaziman integrasi sosial dan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan serta fizikal.

teras strategik 2
Kesejahteraan rakyat akan dipertingkat apabila akses kepada penjagaan kesihatan diperluas. - Gambar fail


Memperkasa pembangunan modal insan untuk menjadi negara maju

Kerajaan akan meningkatkan produktiviti buruh dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi.

Pengajian atau latihan bidang teknikal dan vokasional (TVET) akan beralih kepada pelaksanaan program latihan yang diterajui industri untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang memenuhi keperluan industri.

Tenaga kerja sedia ada akan berpeluang mempertingkat kemahiran supaya kekal relevan dalam ekonomi yang dinamik.

Sementara itu, kualiti pendidikan akan ditingkatkan untuk membangunkan bakat dengan pengetahuan dan kemahiran serta etika dan moral untuk terus maju dalam persekitaran global yang kompetitif.

teras strategik 3
Kerajaan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi.
- Gambar fail


Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan

Strategi pertumbuhan hijau akan meningkatkan kualiti pertumbuhan, mengukuhkan jaminan bekalan makanan, air dan tenaga serta mengurangkan risiko alam sekitar dan kemusnahan ekologi demi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Ia juga dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dengan signifikan dan pemuliharaan ekosistem kawasan teresterial dan air daratan serta pesisir pantai dan marin yang lebih baik.

Amalan penggunaan dan pengeluaran mampan dapat meningkatkan penggunaan tenaga secara cekap dan rendah karbon dalam bangunan, pengangkutan, produk dan perkhidmatan.

Selain itu, adaptasi terhadap perubahan iklim, pengurusan risiko bencana serta perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti akan diperkukuh untuk melindungi rakyat dan hasil pembangunan.

teras strategik 4
Strategi pertumbuhan hijau mampu mengurangkan risiko alam sekitar dan kemusnahan ekologi. - Gambar fail

Memperkukuh infrastruktur untuk menyokong perkembangan ekonomi

Pembangunan infrastruktur adalah penting bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas dan perkhidmatan seperti pengangkutan, komunikasi, elektrik dan air bersih.

Sehubungan itu, tumpuan diberikan kepada pelaburan baharu dalam pembinaan jalan raya, rel dan perkhidmatan udara untuk menambah baik tahap produktiviti, kecekapan dan perkhidmatan.

Capaian digital ditambah baik melalui peluasan infrastruktur jalur lebar selain inisiatif perkhidmatan jalur lebar yang mampu dibayar.

Sektor lain yang akan dipertingkatkan adalah logistik dan fasilitasi perdagangan, rangkaian dan rawatan air, serta peningkatan jaminan dan keandalan sektor tenaga.

teras strategik 5
Tumpuan pembangunan infrastruktur tumpuan diberikan kepada pelaburan baharu dalam pembinaan jalan raya, rel dan perkhidmatan udara. - Gambar fail

Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

Semua sektor ekonomi akan beralih kepada aktiviti nilai tambah dan berintensif pengetahuan. Sektor perkhidmatan akan beralih kepada perkhidmatan moden seperti kewangan Islam, industri halal, industri kreatif, ekopelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi, serta minyak dan gas.

Sektor pembuatan akan beralih kepada pengeluaran produk bernilai tinggi, lebih kompleks dan pelbagai dalam tiga subsektor pemangkin iaitu kimia; elektrik dan elektronik; serta mesin dan peralatan.

Sektor pertaniana kan dimodenkan melalui penggalakan amalan pertanian mampan dan penggunaan teknologi moden untuk menjana pendapatan tinggi.

Semua pertumbuhan sektor tersebut bakal disokong peningkatan inovasi dan produktiviti, modal insan berkemahiran dan pengantarabangsaan.

teras strategik 6
Sektor perkhidmatan antara lain akan beralih kepada perkhidmatan moden seperti kewangan Islam dan industri halal. - Gambar fail