KANGAR: Sebanyak enam premis perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dikesan sekitar Perlis berdasarkan semakan Majlis Perbandaran Kangar Perlis (MPKPs).

Yang Dipertua MPKPs Affendi Rajini Kanth berkata bagaimanapun hasil pemantauan pihaknya mendapati semua premis itu tidak lagi beroperasi sehari selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

"Pihak Majlis memantau dari segi lesen premis dan pematuhan kepada syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kangar. Berdasarkan rekod, kesemua premis ini mematuhi prosedur ditetapkan, beroperasi dengan lesen sah sebelum ini," katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Namun, Affendi berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya wujud premis perniagaan lain di negeri itu yang disyaki berkaitan GISB.

Bernama sebelum ini melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) merampas 63 barangan berkaitan ajaran sesat berunsur batiniah dalam operasi bersepadu di dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB di sekitar Perlis pada Sabtu lepas.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim berkata operasi itu dilaksanakan bagi tujuan penguatkuasaan selaras dengan Fatwa Ajaran Sesat Berunsur Batiniah yang diwartakan pada 28 Ogos 2024.

-- BERNAMA