Enam buah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas sederet rumah sewa yang mereka diami di Kampung Kubang Semang, di sini musnah dalam satu kebakaran pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perda Mohd Hadzi Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 10.35 pagi dan jentera pertama tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit.

"Ketika pihak bomba sampai api sedang marak berikutan enam buah rumah sewa dua tingkat itu terletak sederet. Api juga mudah merebak kerana tingkat atas rumah-rumah sewa terbabit diperbuat daripada papan.

"Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal api dari merebak ke rumah lain kerana rumah di kawasan terbabit terletak berhampiran. Kita padam keseluruhan kebakaran dalam masa sejam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata sebanyak enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Bukit Mertajam dan Perai dengan kekuatan 30 anggota serta anggota bomba sukarela terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

Mohd Hadzi berkata semua penghuni di enam lot rumah sewa itu berjaya menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa kecuali seorang anggota bomba mengalami sesak nafas.

"Anggota berkenaan Hakimi Md Ali dari Balai Bomba Bukit Mertajam dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut," katanya dan menurutnya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Zuraini Darus, 42, berkata ketika kejadian beliau sedang mandi dan terdengar beberapa jirannya menjerit ada api.

"Saya terus keluar dari bilik air...api sudah marak dan saya terus panggil anak (Muna Izzah Abdul Mustafa, 10) yang berada di ruang tamu keluar untuk menyelamatkan diri," katanya yang tinggal di rumah sewa berkenaan sejak 20 tahun lepas.

Katanya beliau tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan semasa kebakaran suaminya tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Labu Besar, Kedah bersama seorang lagi anak mereka.

Seorang lagi mangsa Mohd Nazri Abdul Rahman, 37, berkata beliau bernasib baik kerana anak sulungnya Mohd Lokman, 6, sempat mengejutkannya yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.

"Saya sedang tidur kerana baru balik kerja pukul 8 pagi tadi dan tiba-tiba terdengar anak saya panggil dan beritahu rumah terbakar, nasib baik dia kejutkan kalau tidak mungkin kami (dia, anak sulung dan anak kedua) dah terbakar sama.

"Kami sekeluarga tinggal di rumah sewa itu sejak enam tahun lepas," katanya sambil menambah ketika kejadian isterinya Habibah Idris, 35, tiada rumah kerana pergi ke Klinik Kubang Semang.